Connect with us

AGAMA

Doa Nabi Yunus & Kelebihannya

Avatar of Admin NP

Published

on

Doa Nabi Yunus & Kelebihannya

Doa Nabi Yunus & Kelebihannya

Doa Nabi Yunus adalah salah satu doa yang sangat terkenal dalam kalangan umat Islam. Doa ini diambil daripada kisah Nabi Yunus a.s ketika berada dalam perut ikan. Doa ini juga dikenali sebagai Istighfar Nabi Yunus atau Zikir Nabi Yunus. 

Allah telah menyelamatkan Nabi Yunus dan dikeluarkan daripada perut ikan nun selepas Baginda membaca doa ini dan bertaubat selama 40 hari 40 malam di dalam perut ikan nun. 

Jom baca lebih lanjut mengenai Doa Nabi Yunus dan Kelebihannya. 

Doa Nabi Yunus

Berikut ialah Doa Nabi Yunus yang telah dirakamkan dalam Al-Quran, Surah Al-Anbiya’ ayat 87:

لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.

Elemen Dalam Doa Nabi Yunus

Doa Nabi Yunus

Doa Nabi Yunus ini mengandungi elemen tauhid, tasbih dan istighfar. Ia sangat digalakkan untuk dibaca dan diamalkan dalam kehidupan seharian. 

   لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ :Tauhid

Frasa pertama dalam doa ini, لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ (Tiada Tuhan selain Engkau), menegaskan prinsip tauhid. Ia menunjukkan pengakuan penuh terhadap keesaan Allah dan mengesahkan bahawa hanya Dia yang berhak disembah. 

 سُبْحَانَكَ إِنِّي  :Tasbih

Frasa kedua, سُبْحَانَكَ إِنِّي (Maha Suci Engkau), merujuk kepada tasbih. Ini adalah ungkapan pujian dan pengagungan kepada Allah, menandakan bahawa Allah bebas dari segala kekurangan dan cela.

Dengan menyebut tasbih ini, Nabi Yunus menunjukkan sikap rendah hati dan pengakuan akan kebesaran serta kesucian Allah.

كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ :Istighfar

Frasa terakhir, كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ (Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang zalim), merupakan ungkapan istighfar atau permohonan ampun. Ini menunjukkan penyesalan Nabi Yunus atas tindakan meninggalkan kaumnya tanpa izin Allah. Dengan mengakui kesalahannya, Nabi Yunus memohon keampunan dan pertolongan daripada Allah.

BACA JUGA: Doa Iftitah Rumi: Bacaan Doa Iftitah Dalam Solat (Video)

Kisah Nabi Yunus

Firman Allah SWT dalam Surah al-Saffat, ayat139-148 yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Nabi Yunus adalah dari Rasul-rasul (Kami) yang diutus. (Ingatkanlah peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat. 

(Dengan satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah ia dari orang-orang yang kalah yang dicampakkan (ke laut). 

Setelah itu dia ditelan oleh ikan besar, sedang dia berhak ditempelak. Maka kalaulah dia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir dan tasbih), tentulah dia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan keluar dari kubur. 

Oleh itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai), sedang dia berkeadaan sakit. 

Dan Kami tumbuhkan (untuk melindunginya) sebatang pokok yang berdaun lebar. Dan (Nabi Yunus yang tersebut kisahnya itu) Kami utuskan kepada (kaumnya yang seramai) seratus ribu atau lebih. (Setelah berlaku apa yang berlaku) maka mereka pun beriman, lalu Kami biarkan mereka menikmati kesenangan hidup hingga ke suatu masa (yang ditetapkan bagi masing-masing).”

doa nabi yunus

Berdasarkan ayat di atas, Nabi Yunus a.s. adalah seorang nabi yang diutus oleh Allah untuk menyampaikan wahyu-Nya kepada kaumnya, Bani Israel. Namun, setelah menghadapi penolakan demi penolakan daripada kaumnya, Baginda pun beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan kaumnya.

Lalu Baginda menaiki sebuah kapal yang sarat dengan penumpang dan barangan. Tiba-tiba kapal tersebut terumbang-ambing dan hampir tenggelam kerana ribut taufan dan ombak besar yang bergelora. 

Maka para penumpangnya melakukan undian untuk mengeluarkan sebahagian daripada mereka ke dalam laut, bagi meringankan bebanan yang terpaksa ditanggung oleh kapal agar mereka yang berada di atasnya terselamat. 

Nabi Yunus A.S termasuk orang-orang yang kalah dalam undian, sekalipun undian telah diulang sebanyak tiga kali. 

Lalu terjunlah Nabi Yunus ke laut. Ketika Baginda melemparkan dirinya ke dalam laut, seekor ikan besar telah menelannya. Maka, Baginda pun terperangkap di dalam perut ikan yang dikenali sebagai Ikan Nun. 

DOA NABI YUNUS

Setelah beberapa ketika, Nabi Yunus pun menyedari bahawa Baginda telah melakukan satu kesalahan. Iaitu, keluar meninggalkan kaumnya tanpa izin Allah SWT hanya kerana kemarahannya terhadap mereka. 

Tahulah Baginda, ini adalah ‘hukuman’ daripada Allah SWT. 

Sepanjang berada di dalam perut ikan tersebut, Nabi Yunus tidak berhenti-henti berzikir dan bertaubat kepada Allah. Zikir yang dilafazkan Nabi Yunus ialah: لَّا إِلَـٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.

Akhirnya, Allah SWT mengeluarkan Nabi Yunus A.S dengan memerintahkan ikan besar untuk memuntahkan Baginda ke tanah tandus di daratan pantai yang kosong dan tidak didiami oleh seorang manusia pun. 

Setelah itu, Allah SWT menumbuhkan sejenis tumbuhan bagi meneduhi dan melindungi tubuhnya sehingga keadaan Baginda kembali pulih dan kuat seperti sediakala. 

Pohon tersebut ialah pokok labu dan Allah SWT menjadikannya tumbuh dalam tempoh yang sangat cepat. 

Setelah Nabi Yunus A.S sudah pulih dan kembali sihat, datang kepadanya perintah Ilahi untuk kembali kepada kaumnya iaitu penduduk Ninawa.  

Terdapat riwayat menyatakan bahawa Baginda A.S diutuskan kepada kaum lain setelah keluar daripada perut ikan besar dan bukan kepada kaumnya yang dahulu.

BACA JUGA: Pesan Nabi, Ambillah Iktibar Berdasarkan 4 Tanda Mengenai Manusia Akhir Zaman Yang Perlu Kita Tahu

Kelebihan Doa Nabi Yunus

1. Pengampunan Dosa

Doa Nabi Yunus adalah doa yang baik dibaca untuk memohon keampunan daripada Allah SWT. Jika kita baca maksudnya, doa ini mengandungi ayat yang menyatakan taubat kepada Allah dan mengakui kesalahan diri dan menjadi orang yang menzalimi diri sendiri.

2. Mengatasi Masalah dan Kesulitan

Doa Nabi Yunus juga amat baik dibaca untuk memohon agar dikeluarkan daripada segala masalah dan kesulitan. Sama seperti Nabi Yunus yang membaca doa ini semasa Baginda dalam kesulitan, semoga Allah pun memberi pertolongan dan mengeluarkan sesiapa yang membaca doa ini daripada segala kesulitan. 

3. Menguatkan Tauhid dan Keimanan kepada Allah

Doa Nabi Yunus mengandungi elemen tauhid (keesaan Allah) dan tasbih (pengagungan kepada-Nya), menjadikannya sebagai zikir yang sangat baik untuk mendekatkan diri kepada Allah.

4. Dikabulkan Doa & Permintaan

Salah satu kelebihan utama doa Nabi Yunus adalah Allah akan memperkenankan doa dan permohonan orang yang mengamalkannya. 

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad menyatakan bahwa sesiapa yang berdoa dengan doa ini, maka Allah akan memperkenankan hajat mereka

Sabda Rasulullah:

Sesungguhnya tidak ada muslim yang berdoa dengannya untuk apa saja (hajatnya), melainkan akan dimakbulkan Allah doanya itu.”

(HR Ahmad, dinilai Sahih oleh Ahmad Syakir)

Pengajaran Kisah Nabi Yunus

Apakah pengajaran yang kita boleh dapat daripada kisah Nabi Yunus عليه السلام ini?

1. Wajib Berdakwah

Tugas dakwah Tauhid bukan sahaja tugas Nabi tapi tugas kita semua sebagai umat Islam. Berdakwahlah dengan sekecil-kecil perkara. Tunjukkan akhlak yang baik, lisan yang baik dan contoh yang baik untuk diteladani oleh orang lain. 

2.  Amalkan Zikir

Amalkan zikir dalam apa jua keadaan sama ada senang mahupun susah. Dengan mengingati Allah lah hati menjadi tenang. Bukan itu sahaja, seperti kisah Nabi Yunus, dengan berzikirlah Allah menyelamatkan Baginda. 

3. Bertaubat dan Mengakui Kesalahan Diri

Lihat cara Nabi Yunus عليه السلام meminta ampun. Baginda tidak sebut pun meminta ampun, tapi baginda mengaku yang baginda bersalah. Bertaubat dan merendah diri di hadapan Allah serta berdoa agar taubat diterima. 

Inilah juga cara doa yang pernah diajar oleh Rasulullah ﷺ kepada Abu Bakr رضي الله عنه.

Abu Bakar As-Siddiq ‎رضي الله عنه, dia berkata kepada Rasulullah ﷺ, “Ajarkanlah aku suatu doa yang boleh aku berdoa dengannya ketika solat!”

Maka baginda pun bersabda: “Bacalah,

اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّك أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: Ya Allah, sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka itu ampunilah aku dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(Al-Bukhari 6326, Muslim 2705 – Mutafaqun ‘Alaih)

4. Pertolongan Allah

Yakinlah dengan pertolongan Allah walau sesukar manapun keadaan yang menimpa diri, percayalah bahawa pertolongan Allah itu dekat. Allah akan menolong hamba-hambaNya yang dikehendaki. Oleh itu, jangan berputusa asa dan sentiasa berdoa memohon pertolongan dariNya.

5. Kesabaran dan Ketabahan

Kisah Nabi Yunus juga menekankan pentingnya kesabaran dalam menghadapi cubaan. Setiap perkara yang dipertanggungjawabkan kepada kita pasti ada cabarannya tersendiri. Untuk membolehkan diri kita menghadapi cabaran yang mendatang dengan berjaya, kuncinya adalah kesabaran. Sabarlah menghadapi apa juga rintangan yang Allah berikan. Percayalah, pasti ada sinar selepasnya. 

BACA JUGA: Nabi Sulaiman Adalah Seorang Nabi Yang Dianugerahkan Oleh Allah Kekayaan Melimpah Ruah, Inilah 3 Doa Nabi Sulaiman Kaya Raya Hingga Menjadi Raja Dunia

Adab Berdoa

DOA NABI YUNUS

Adab berdoa dalam Islam merupakan panduan penting untuk memastikan doa yang dipanjatkan diterima dan dikabulkan oleh Allah SWT. Berikut adalah beberapa adab yang perlu diperhatikan:

  1. Berwuduk: Disarankan untuk berdoa dalam keadaan bersih dengan berwuduk, meskipun di luar solat.
  2. Menghadap Kiblat: Menghadap ke arah kiblat saat berdoa adalah amalan yang dianjurkan.
  3. Mengangkat Tangan: Mengangkat kedua tangan saat berdoa merupakan sunnah yang baik.
  4. Memulai dengan Puji-Pujian: Memuji Allah dan berselawat kepada Nabi Muhammad SAW sebelum memohon adalah penting.
  5. Rendahkan Suara: Berdoalah dengan suara yang tidak terlalu nyaring agar tidak mengganggu orang lain.
  6. Khusyu’ dan Rendah Hati: Berdoa dengan penuh khusyuk dan kerendahan hati, menyadari bahwa kita memohon kepada Yang Maha Kuasa.
  7. Tidak Berdoa untuk Keburukan: Hindari memohon keburukan, baik untuk diri sendiri maupun orang lain.
  8. Menggunakan Kalimat Singkat dan Padat: Pilihlah kalimat yang ringkas namun bermakna.
  9. Yakin dan Penuh Harapan: Berdoalah dengan keyakinan bahwa Allah akan mengabulkan doa tersebut.
  10. Memilih Waktu Mustajab: Berdoalah pada waktu-waktu yang dianggap mustajab, seperti saat hujan atau antara azan dan iqamah

Kesimpulan

Doa Nabi Yunus bukan sahaja merupakan satu bentuk permohonan kepada Allah tetapi juga mempunyai banyak kelebihan bagi mereka yang mengamalkannya. 

Oleh itu, marilah kita sama-sama menjadikan Doa Nabi Yunus sebagai amalan harian agar hidup kita sentiasa dilimpahi rahmat dan keberkatan dari-Nya serta diberikan jalan keluar untuk setiap kesulitan. 

Rujukan:

  1. Tafsir Surah Yunus Ayat 98 – 99 (Kisah Nabi Yunus عليه السلام) – Celik Tafsir
  2. #4638: Kisah Nabi Yunus A.S dan Ikan Nun – Maktabah Al Bakri
  3. AL-KAFI # 581: ISTIGHFAR NABI YUNUS – Mufti WP
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

2024 Majalah Ilmu © Hak Cipta Terpelihara.