Connect with us

Kisah

Layak Digelar Suami Kiriman Syurga, Warga Emas Setia Jaga Isteri Lumpuh & Tabah Uruskan Rutin Rumah Tangga Sendirian

Avatar of hannani juhari

Published

on

suami kiriman syurga

Layak Digelar Suami Kiriman Syurga, Warga Emas Setia Jaga Isteri Lumpuh & Tabah Uruskan Rutin Rumah Tangga Sendirian

Memilih untuk mendirikan rumah tangga bersama pasangan adalah keputusan terbesar yang kita lakukan dalam hidup kerana setelah akad perkahwinan maka bermula kisah bersama yang kita lakar sendiri. Mana-mana pasangan yang berkahwin tentunya ingin ikatan itu berpanjangan sehingga ke hujung nyawa. Kali ini kami akan membawa anda untuk menelusuri kisah suami kiriman syurga.

“Dia suami kiriman syurga. Hanya ada satu dalam seribu.”

suami kiriman syurga

Mohd Nor Osman, 88 tahun digelar sebagai suami kiriman syurga setelah dia memilih untuk setia menjaga isterinya Che Esah Mohd, 68 tahun sejak enam tahun yang lalu. Dia yang tinggal hanya berdua di rumah, sangat ringan tulang menyediakan makan minum dan menguruskan rutin harian isterinya setiap hari seperti membuat kerja rumah, masak, dan sebagainya.

Walaupun umur sudah lanjut usia, tetapi Pak Cik Nor Osman tidak mengeluh sebaliknya tabah dan menerima ketentuan Ilahi ini dengan berlapang dada. Jika kita menganggap sihat itu adalah suatu rezeki, maka kita juga perlu terima sakit itu rezeki yang sama.

Semenjak isterinya lumpuh dan tidak mampu berjalan lagi, dialah yang mengambil alih menguruskan rumah dan menyediakan hidangan setiap hari. Air tangan seorang suami telah menjadi santapan dua orang insan ini di rumah.

Sebelah pagi dia akan ke kedai membeli sarapan. Manakala untuk makan tengah hari dan malam sekiranya tidak membeli makanan, dia akan masak sendiri di rumah.

“Alhamdulillah. Walaupun sudah menjangkau usia emas namun saya masih mampu menjaga isteri dengan baik kerana kami hanya tinggal berdua di rumah ini,” jelasnya.

Perkahwinan kedua dan tidak dikurniakan anak

Che Esah adalah isteri dari perkahwinan kedua Pak Cik Nor Osman setelah isteri pertamanya, Hasmah Busu meninggal dunia ketika berusia 61 tahun kira-kira 20 tahun yang lalu. Melalui perkahwinan dengan arwah isterinya itu, dia dikurniakan 11 orang anak dan kini mempunyai 60 cucu, dan 21 cicit. Malangnya, perkahwinan bersama Che Esah tidak dikurniakan zuriat sama sekali.

Oleh kerana itu mereka hanya tinggal berdua di rumah, dan sentiasa menjaga antara satu sama lain sehingga Che Esah diuji dengan sakit yang menyebabkan dia sukar untuk bergerak.

suami kiriman syurga

Jatuh, rebah dan patah tulang

Berkongsi cerita, pada mulanya isterinya sering terjatuh dan mereka tergerak hati untuk membuat pemeriksaan. Hasil pemeriksaan mendapati bahawa tulang belakang isterinya mengalami masalah.

Bahkan menurut doktor yang merawat, isterinya perlu membuat pembedahan untuk memasukkan besi pada tulang belakangnya agar mampu kembali normal dan berjalan seperti biasa semula.

suami kiriman syurga

Belum sempat menjalankan pembedahan, isterinya tiba-tiba rebah semula dan mengalami patah tulang pada bahagian peha. Akibatnya, Che Esah lumpuh separuh badan ke bawah sehinggalah sekarang.

“Walaupun diuji ujian sehebat ini namun saya tetap bersyukur kepada Allah kerana masih mampu menjaga isteri dengan baik dan selagi bernafas saya akan tetap menjaganya kerana ia adalah amanah buat saya,” kata Pak Cik Nor Osman.

Luahan hati seorang isteri kepada suami tercinta

Che Esah menganggap suaminya itu adalah hadiah dari Allah SWT iaitu suami kiriman syurga kerana walaupun menghidap penyakit darah tinggi, lemah jantung, dan prostat, tetapi tetap bersemangat menjaganya setiap hari.

“Saya lihat kasih sayang suami kepada saya amat ikhlas, setia, dan kuat. Dia sanggup berkorban dan bersusah-payah menyediakan makan minum dan segala urusan rumah tangga ketika saya hanya mampu baring di atas katil,” luah Che Esah.

Sebagai suami, Pak Cik Nor Osman juga akan menguruskan kebersihan diri isterinya dengan membawa ke tandas untuk mandi, lap badan, dan menyediakan makan minum tanpa jemu. Tidak pernah mengeluh walaupun kudrat semakin dimamah usia untuk terus berbakti dengan sepenuh hati.

Tiada rahsia dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga

suami kiriman syurga

Setiap pasangan yang berjaya dan bahagia pastinya sentiasa mendapat respon ramai untuk berkongsi tips untuk kekalkan keharmonian rumah tangga mereka. Berbeza dengan Pak Cik Nor Osman dan Che Esah, mereka beranggapan tiada rahsia dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga.

Namun nasihatnya walaupun hidup serba kekurangan, setiap pasangan suami isteri perlu saling bertolak ansur dan hormat-menghormati antara satu sama lain untuk kekal bahagia.

Apa yang dilakukan oleh Pak Cik Nor Osman menggambarkan kepada kita bahawa suami yang setia dan baik itu masih wujud lagi di dunia ini. Kes-kes keruntuhan rumah tangga yang banyak dipaparkan di dada akhbar dan media sosial kadang kala membuatkan sesetengah orang takut untuk mendirikan rumah tangga. Diharapkan dengan perkongsian ini sedikit sebanyak dapat mengubah perspektif buruk terhadap sebuah perkahwinan.

Jadikan keutamaan agama dalam mewujudkan sebuah rumah tangga yang berjaya di dunia dan akhirat. Insha Allah kelak kita tidak akan berasa rugi dengan apa yang telah ditetapkan oleh Nya.

Sumber: Metro TV

Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

2024 Majalah Ilmu © Hak Cipta Terpelihara.