Connect with us

Kisah

“Kalau Umur Akak Tak Panjang, Mak Ceritalah”, Dakwah Terakhir Siti Hajar

Published

on

dakwah terakhir siti hajar

“Kalau Umur Akak Tak Panjang, Mak Ceritalah,” Dakwah Terakhir Siti Hajar

Kematian tidak akan sesekali berhenti menemui kita selagi mana kita masih diberikan nafas, dan peluang dari Allah SWT untuk menghirup udara di dunia ini. Bagi setiap makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT, sudah ditetapkan waktu, dan masa ajalnya. Maka tidak akan dapat diundur sedikit atau dipercepatkan walaupun sesaat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang ditetapkan), maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaat pun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.” – (Surah al-A’raf, ayat 34)

Dakwah terakhir Siti Hajar dari catatan ibu tercintadakwah terakhir siti hajar

“Mak tulis ya, biar tak lupa. Nanti akak sendiri yang akan ceritakan. Tapi kalau umur akak tak panjang, emak ceritakanlah bagi pihak akak.”

Digelar dengan panggilan mujahidah, semua mata terus tertumpu kepada kisah pemilik nama, Siti Hajar Ahmad Sabir yang merupakan seorang pelajar dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM). Ketika kemalangan yang meragut nyawanya itu berlaku, beliau baru sahaja berusia 20 tahun.

Kisahnya bertarung nyawa selama dua minggu di Hospital Melaka kerana terbabit dalam kemalangan di Solok Duku, Masjid Tanah pada 6 Januari 2013 yang lalu menjadi sebuah kisah teladan yang boleh kita hayati bersama. Catatan ini ditulis oleh ibu arwah yang tersayang, Puan Noraini.

Menurutnya, catatan ini hanya ditulis menerusi kandungan SMS sebenarnya, kemudian diberikan kepada rakan arwah, Nur Nadia. Namun setelah rakannya berkongsi kisah ini di blog peribadinya, ia terus tersebar luas sehingga ke seluruh Malaysia.

“Disebabkan arwah dimasukkan ke wat rawtaan rapi (ICU), tidak ramai yang dapat menziarahinya. Oleh kerana itulah, saya berkongsi keadaan Siti Hajar kepada Nadia,” kata ibu arwah.

Katanya lagi, “Arwah sendiri mahu pengalamannya yang menerima bantuan Allah sepanjang terlantar di hopsital dikongsi kepada orang lain kerana baginya itulah dakwah terakhir yang dapat disampaikan sebelum beliau meninggal dunia.”

Hari-hari terakhir sebelum pemergiaan Siti Hajar

Tempoh dua minggu menanggung sakit di hospital rupanya-rupanya bukan hanya sekadar itu yang Allah SWT anugerahkan kepada insan yang bernama Siti Hajar ini. Malah indahnya cara beliau pergi menghadap Ilahi memberi keinsafan bagi diri kita khususnya kepada muslimat di luar sana.

6 Jan 2013 (Ahad)

Kami bergegas ke Hospital Besar Melaka setelah mendapat panggilan telefon mengatakan Hajar kemalangan. Ramai pelajar UTEM menunggu berita kemalangan tersebut

7 Jan 2013 (Isnin)

Hajar dimasukkan ke wad ICU Mawar. Doktor memberi maklum bahawa pembedahan perlu dilakukan dengan segera, tetapi ketika itu kami tidak mempunyai wang yang cukup.

8 Jan 2013 (Selasa)

Pembedahan dilakukan pada pukul 1 tengahari setelah mendapat bantuan dana dari derma oleh mahasiswa universiti.

9 Jan 2013 (Rabu)

Kesihatan Hajar menunjukkan perubahan yang baik pada sebelah pagi tetapi merosot sedikit menjelang petang. Tekanan darah Hajar mula turun, mukanya mula sembab, dan hanya susu yang boleh disalurkan kepadanya melalui tuib.

10 Jan 2013 (Khamis)

Waktu subuh, kami bacakan ayat-ayat suci Al-Quran, dan doa syifa’. Hajar tidak menunjukkan sebarang respon, hanya sahaja matanya lebih bermaya dari sebelumnya. Satu per satu kiriman salam dari rakan-rakannya kami sampaikan. Tiada air mata yang mengalir darinya.

Walaupun pembedahan itu untuk membetulkan kedudukan tulang belakangnya, namun saraf tunjungnya masih tercedera. Ini menyebabkan dia lumpuh tidak mampu bergerak. Ramai yang bersimpati dengan Hajar lalu menawarkan bermacam-macam alternatif tradisional yang lain dari rawatan medikal. Hajar hanya tersenyum lalu berpesan, dia tidak mahu apa-apa rawatan yang menggunakan perantaraan jin dan hanya mahukan perubatan Islam. Dia rela lumpuh seumur hidup atau sanggup mati, asalkan tidak mensyirikkan Allah SWT.

11 Jan 2013 (Jumaat)

Hajar sudah mampu untuk menelan bubur, sup ayam, sup sayur ikan, ikan, buah-buahan, dan air zam-zam menggunakan penyedut minuman. Menitis air mata rakan-rakannya yang melihat keadaan Hajar. Ramai yang mahu melayan, dan menyuapkannya.

Solat Hajat dilakukan di merata tempat dari sebelah malam hingga ke siangnya. Keazaman Hajar untuk terus menuntut ilmu di UTEM terus membara setelah mendapat lawatan dari Naib Cancelor universiti. Ada jangkitan kuman mula dikesan di paru-paru menyebabkan pernafasannya tidak stabil.

12 Jan 2013 (Sabtu)

Doa, dan kata-kata peransang tidak henti-henti diberikan untuk Hajar. Rawatan, dan latihan pernafasan yang diberikan menyebabkan Hajar mampu untuk mengangkat kedua-dua belah tanggannya dengan tinggi. Hajar di keluarkan dari ICU Mawar lalu diletakkan di wad D3.

13 Jan 2013 (Ahad)

Saya menerangkan segala yang berlaku khususnya keadaan sebenar Hajar kepada dirinya sendiri. Dia mula faham bahawa dirinya sedang lumpuh sementara. Maha Suci Allah, Hajar redha dengan segala qada, dan qadar yang telah ditetapkan kepadanya. Tidak ada setitik pun air mata, keluhan, atau penyesalan yang keluar dari bibirnya itu.

Katanya, “Kalau mak dan ayah boleh redha, dia juga akan redha. Banyak lagi tanggungjawab untuk digalas, ramai lagi di luar sana yang perlukan bimbingan. Sebab itu Allah masih selamatkan akak. Jadi akak akan bersyukur. Pasti ada hikmahnya.”

Malam itu, sedang saya membacakan ayat-ayat suci Al-Quran kepadanya, dia tiba-tiba berkata “Mak dengar tak tu? Suara seruan tu?”

Saya terdengar seruan bersahut-sahutan dua atau tiga kali dari arah yang tidak pasti. “Orang azan kot,” kata saya.

Dia jawab, “Mana pulak, azan mana ada subhanallah. Orang tu sebut subhanallah berkali-kali. Akak dengar. Cuba tengok jam, bukan masa azan, kan?” akuinya penuh jujur.

Saya mula rasa berdebar, “Selalu ke akak dengar?” tanya saya.

Jawapannya amatlah naif sekali. Katanya, “Selalu gak, entah siapa lah yang jerit tu gaknya…”

14 Jan 2013 (Isnin)

Keadaan Hajar semakin memburuk, dan lemah. Malah sehingga menyebabkan doktor, dan jururawat berlari-lari untuk memberi bantuan kepadanya yang tiba-tiba menggelepar mencari nafas. Menjelang tengah malam barulah dia bernafas selesa, dan tidak tercungap-cungap lagi.

Bila keadaan kembali tenang, Hajar mula buka cerita. Semasa doktor membantunya, dan kami memohon bantuan Allah dengan doa, dan zikir, pertolongan tersebut benar-benar telah datang. Bagaimana? Secara tiba-tiba dia sendawa berkali-kali. Dan setiap kali angin sendawa itu keluar, terasa hidung yang tersumbat tidak tersumbat lagi sehingga membolehkan Hajar kembali bernafas dengan selesa.

“Ayah percaya Allah tak?” kata Hajar kepada ayahnya.

“Percaya,” jawab ayah Hajar.

“Kalau percaya pada Allah, ayah baliklah.. Allah ada jaga akak kat sini,” balasnya dengan penuh ketenangan.

Sesekali dia tersenyum manis. Kami tanyakan ”Kenapa senyum?”

Jawab Hajar, ”Ada bau wangi sangat bila ada nurse datang atau sahabat yang datang ziarah.”

15 Jan 2013 (Selasa)

Sebelah pagi Hajar masih tidak bermaya. Namun perjuangannya untuk hidup masih kuat diteruskan lagi.

16 Jan 2013 (Rabu)

Usai solat subuh, saya dapati Hajar mengadu sakit perut. Perunya mula membengkak, dan bergerak-gerak. Rasa mahu muntah menguasai dirinya ketika itu. Menjelang maghrib, dia suruh ayahnya solat. Kemudian saya pula disuruh solat. Saya katakan, “Nanti siapa nak tolong bersihkan muntah? Mak solat lewat sikitlah.”

Hajar jawab “Allah ada, Allah boleh bantu akak.” Malam itu, dia masih tidak berhenti muntah. Setiap kali diberikan minum, pasti dia akan memuntahkannya kembali. Sepanjang malam, adik Hajar, Nabilah, saya dan suami saya hanya menadahkan kain menahan muntah Hajar.

Bila reda sedikit, kami mula berbicara. “Akak, mampak gayanya macam perut akak dah tak terima lagi air yang kami beri. Mungkin rezeki minuman akak dah habis. Mak bagi air untuk basah tekak je, tapi untuk menghilangkan dahaga, akak mohonlah rezeki dari Allah.”

Ayahnya pula kata, “Akak, kalau akak dipanjangkan usia, ayah akan belikan komputer yang lebih ringan untuk akak, sesuai dengan kemampuan akak menggunakannya. Tapi kalau usia akak tak panjang, akak jangan sedih sebab akak akan dapat syahid dunia.”

Pujuk ayah lagi, “Akak, bila dajjal keluar nanti, orang-orang yang beriman takkan dapat bekalan makanan sebab tak mahu sembah dajjal. Mereka akan berzikir sahaja, dan Allah cukupkan rezeki mereka. Mereka tak rasa lapar dan dahaga. Akak zikirlah ye.”

“Kalau mak dan ayah dah redha, takde sebab untuk akak tak redha. Kalau Allah izinkan akak hidup lagi, walau macam mana pun rupa akak waktu tu, akak akan berdakwah untuk beritahu orang tentang adanya pertolongan Allah, besarnya kekuasaan Allah. Mak tulis ye, biar tak lupa. Nanti akak sendiri yang akan ceritakan. Tapi kalau umur akak tak panjang, emak ceritakanlah bagi pihak akak.”

Hajar juga sempat berpesan kepada adik-adiknya untuk mengubah penampilan dalam berpakaian selain di pujuk untuk menggunakan jubah, dan tudung-tudung labuhnya yang banyak di rumah itu. Keamaafan mula dipohon dari seorang demi seorang rakan-rakannya. Dia turut meminta digantikan puasanya, dan diuruskan solat yang tertinggal sepanjang dia berada di hospital itu.

Kami tanya lagi, “Susah ke rasanya nak muntah tu tadi?”

Jawabnya, “Taklah, senang je, Allah tolong. Badan akak tak boleh keluarkan air-air kotor tu dengan cara biasa. Allah tolong keluarkan melalui muntah. Tak susah pun, rasa macam meludah je.”

Masyaallah, Hajar sentiasa kaitkan apa saja yang dialaminya dengan Allah SWT.

17 Jan 2013 (Khamis)

Situasi semakin kritikal. Tiada pelawat yang dibenarkan untuk menziarahi Hajar. Doktor sedang cuba menyelamatkannya. Perutnya semakin membengkak sehingga menyebabkan usus besar tidak mampu menyalurkan najis dengan sempurna lagi. Kemungkinan besar semuanya berkaitan dengan saraf tunjang yang gagal menghantar arahan ke anggota badan.

Dalam keletihan beliau jawab, “Beratnya dugaan Allah ni mak..”

Jawab saya, “Memanglah… kan syurga Allah tu mahal harganya. Sabar ya, Nabi Ayub dulu pun diuji dengan berat.”

Menjelang asar, Hajar mula rasa bahang, dan minta dimandikan. Panasnya kuat dibahagian dada. Saya rasa, dia sudah mula hendak nazak. Waktu itu saya disuruh untuk beralih dari membelakangkan tingkap kerana dia ingin pandang keluar sana.

Katanya, “Hendak tengok Allah. Allah marah sebab tak dakwah sungguh-sungguh. Tak mahu cari jalan lain, bila dakwah terhalang.”

Saya jawab, “Mintalah ampun dan banyakkan beristigfar pada Allah.”

“Mak, izinkan akak pergi dulu, tapi akak tak nampak jalan,” katanya.

“Ya, mak izinkan, mak doakan agar Rasulullah datang tunjukkan jalannya,” jawab saya.

Hajar kemudian, ditidurkan oleh doktor kerana keadaaanya yang semakin kritikal.

18 Jan 2013 (Jumaat)

Kami dimaklumkan kemungkinan besar, usus Hajar bocor kerana ada air yang banyak diluar perut dan sekitar usus. Menjelang waktu azan zohor, untuk solat jumaat, jantung Hajar tiba-tiba berhenti berdenyut. Doktor segera melakukan CPR.

19 Jan 2013 (sabtu)

Doktor pakar usus mengesahkan usus Hajar bocor dan perlukan tembukan kecil diperut untuk mengesahkan teori beliau. Kami buntu untuk mengisi, dan mendatangani borang kebenaran pembedahan itu. Berita besar sekali lagi disampaikan, bahawa buah pinggang Hajar tidak berfungsi sepenuhnya, dan memerlukan rawatan dialisis. Akirnya, kami mengambil keputusan untuk tidak mendatangani borang kebenaran pembedahan tersebut.

20 Jan 2013 (Ahad)

Pagi yang tenang, saat kami sedang khusyuk bermunajat kepada Allah SWT. Tepat jam 9.20 pagi, Hajar melepasi sakaratul maut, dan meninggal dunia dengan tenang dalam dakapan ibu, dan restu ayah. Seluruh alam seakan turut bersedih, dan merintih kerana kehilangan seorang mujahidah sejati.

Cuaca mendung berterusan dari pagi hingga ke petang, tetapi tidak hujan. Kematiannya menyentap tangkai hati insan-insan yang jujur menyayanginya. Kata empat orang penggali kubur yang membantu mengali kuburannya, kubur Hajar wangi ketika digali.

Pengajaran dari kematian Siti Hajar

Firman Allah SWT, dalam Surah Al-Bayinnah, ayat 7 dan 8:

Bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan-amalan soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Ganjaran mereka disisi Tuhan ialah syurga-syurga Adnin yang mengalir di bawahnya sungai-sungai mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pula redha terhadapnya yang demikian itu ialah (ganjaran) bagi orang yang takut kepada Tuhannya.”

Dakwah terakhir Siti Hajar dari nukilan maknya ini banyak menyedarkan kita tentang rasa sabar, tabah, dan redha dalam menerima ujian. Hanya orang yang benar-benar mempunyai keimanan yang tinggi sahaja akan merasa manisnya dari setiap ujian yang ditimpakan kepadanya. Beliau tidak mengeluh, malah sebaliknya menerima dengan berlapang dada.

Antara pengajaran yang boleh dipelajari dari kisah Siti Hajar ini adalah seperti:

  • Sentiasa yakin, dan percaya kepada qada, dan qadar yang ditetapkan Allah SWT
  • Tidak berburuk sangka dengan Allah SWT
  • Sentiasa taat dengan perintah Allah SWT, Rasulullah SAW, dan ibu bapa
  • Menjaga diri sebagai seorang muslimah
  • Tidak berputus asa dalam berdakwah
  • Menjaga hubungan sesama makhluk

dakwah terakhir siti hajar

Walaupun beliau sudah jauh meninggalkan kita, namun kebaikkannya akan terus mengalir memberi manfaat kepada orang lain. Perjuangan sisa hidupnya yang tidak berputus asa seakan-akan seperti Saidatina Siti Hajar, isteri Nabi Ibrahim AS.

Sumber: Nasihatustaz

Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

2024 Majalah Ilmu © Hak Cipta Terpelihara.