Connect with us

Petua

Jenis Cili Kering, Level Kepedasannya & Mana Yang Sesuai Untuk Masakan?

Published

on

jenis cili kering

Jenis Cili Kering, Level Kepedasannya & Mana Yang Sesuai Untuk Masakan?

Dalam masakan tradisional Melayu khususnya banyak digunakan segala herba, dan rempah-ratus yang ada. Aroma, dan bau daripada rempah-ratus tersebut menambahkan lagi kesedapan dalam sesebuah masakan. Pada hari ini, jika kita perasan masakan Melayu moden mungkin mengurangkan sedikit bahan rempah yang digunakan tetapi pasti dalam setiap masakan ada menggunakan cili lebih-lebih lagi pelbagai jenis cili kering.

Cili kering merupakan bahan masakan yang menghasilkan rasa pedas kepada makanan, dan amat penting untuk orang Malaysia. Jadi tidak hairanlah sekiranya negara kita sendiri terpaksa mengimport bertan-tan cili kering untuk memenuhi permintaan rakyat Malaysia. Mari kita belajar mengenal jenis-jenis cili kering yang ada untuk memudahkan kita masak.

Khasiat cili kering dalam masakan

Selain menjadi bahan utama dalam masakan, cili kering juga mempunyai khasiat, dan kebaikannya yang tersendiri kepada manusia. Antara manfaat cili kering adalah seperti:

  • Meningkatkan aliran darah ke seluruh badan
  • Mencegah pembekuan darah, dan membantu menambahkan kesihatan jantung
  • Membakar kalori, dan mempercepatkan metabolisme tubuh
  • Memperbaiki sistem penghadaman
  • Mengurangkan masalah selsema
  • Membantu mengurangkan risiko kanser
  • Melancarkan pernafasan bagi pesakit asma
  • Meningkatkan hormon, dan mengurangkan despresi

Bagaimana bezakan cili kering mengikut level kepedasan?

Jika anda memang seorang yang peka di dapur, anda pastinya perasan akan wujudnya pelbagai jenis cili kering yang dipasarkan di Malaysia. Memilih cili basah lebih mudah untuk kita membuat perbezaan kerana ia ada warna yang berbeza seperti merah, dan hijau.

Tetapi cili kering hanya ada satu warna, ditambah rupanya juga kelihatan sama, inilah yang menyebabkan ia agak sukar dipilih. Namun begitu, kalau diperhatikan dengan teliti, anda boleh lihat pada bentuk, dan rupanya yang sedikit lain.

1. Cili kering berkilat

jenis cili kering

Cili kering ini pastinya agak susah anda jumpa di kedai atau pasar raya. Ianya berkilat, dan bersaiz pendek, tetapi sedikit gemuk, dan bulat. Jenis cili ini kurang pedas, namun harganya agak mahal dijual. Biasanya, ia lebih banyak dijual di kawasan Pantai Timur, dan popular dalam pembuatan sambal nasi lemak.

2. Cili kering biasa

jenis cili kering

Cili kering yang cukup popular di Malaysia adalah cili kering biasa atau dikenali dengan panggilan Cili Byadagi. Berasal dari negara India juga. Rupanya yang berkedut, saiz yang panjang, dan warna merah yang cantik, sesuai untuk pembuatan sos cili nasi ayam. Tahap kepedasannya di peringkat pertengahan, dan cukup pedas sahaja bagi lidah Melayu kita.

3. Cili kering paprika

jenis cili kering

Paling pedas, dan paling berapi dikenali sebagai Cili Kering Paprika atau Cili Kering 273. Cili ini berasal daripada negara jiran kita iaitu Thailand. Walaupun saiznya kecil, dan sedikit berkedut tetapi sekali makan pasti berdesing telinga anda. Jika anda seorang pesakit gastrik, jangan cuba-cuba untuk makan cili ini. Ia sesuai untuk masakan rendang, mi goreng, sambal, dan sebagainya.

4. Cili kering kashmiri

jenis cili kering

Agak sukar dijumpai di Malaysia, jika ada pun ia akan dijual dalam bentuk serbuk sahaja. Dengan warna yang merah memukau, pekat, cantik, dan tidak pedas menjadikan cili ini pilihan bagi masakan tandoori.

5. Cili kering Yidu

jenis cili kering

Satu-satunya cili dari China, Cili Kering Yidu menjadi piliihan kepada sesiapa yang ingin makan cili tetapi tidak mahu rasa pedasnya. Warnanya yang merah berkilat, besar, tidak berkedut, dan kurang biji menjadikan ia mudah dikenali oleh pencinta cili ketika membuat pilihan untuk membeli. Ia amat sesuai dibuat sambal kerana hasil warna sambal itu akan kelihatan sangat cantik, dan menyelerakan.

6. Cili salem guntur

jenis cili kering

 

Dalam banyak-banyak cili kering yang ada, Cili Kering Salem Guntur ini paling unik di Malaysia. Ia diterbangkan khas dari negara India. Bukan pedas yang dicari dari cili ini, tetapi bau uniknya yang sangat harum, pasti akan menyedapkan lagi masakan, dan hidangan anda.

7. Cili kering teja

jenis cili kering

Rupanya seakan-akan cili kering 273 atau cili kering paprika, tetapi ia kerinting sedikit. Untuk mengenal cili ini mudah sahaja, ia tidak berbatang, dan mempunyai kulit yang nipis. Namanya adalah Cili Kering Teja atau juga dikenali sebagai Cili Kering Siam.

Berasal daripada Thailand, tahap kepedasannya memang sangat pedas. Bahkan jika anda tidak berhati-hati semasa memegangnya berkemungkinan besar, boleh pijar tangan anda nanti.

Hidangan kalau tidak ada rasa pedasnya pasti hambar walaupun sedap. Pilih sahaja cili-cili yang disenaraikan tadi untuk disesuaikan dalam masakan anda supaya rasanya lebih enak, dan menyelerakan.

Sumber: Mingguan Wanita

Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

2024 Majalah Ilmu © Hak Cipta Terpelihara.