INFO
PTPK Login: Cara Semak Baki Pinjaman PTPK

PTPK Login: Cara Semak Baki Pinjaman PTPK ~ PTPK atau Pinjaman Tabung Pembangunan Kemahiran diperkenalkan bagi membantu individu yang ingin meningkatkan kemahiran mereka melalui latihan di institusi yang diiktiraf.
Bagi pelanggan PTPK, adalah penting untuk mengetahui cara semak baki pinjaman PTPK anda untuk memastikan anda boleh merancang kewangan dengan baik.
Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenainya.
PTPK – Pinjaman Tabung Pembangunan Kemahiran
Pinjaman Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) ditubuhkan di bawah Kementerian Sumber Manusia pada tahun 2006, menyediakan bantuan kewangan untuk membiayai yuran kursus, peralatan, bahan pembelajaran, dan perbelanjaan sara hidup semasa tempoh latihan.
Skim ini bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk mendapatkan kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja tanpa menghadapi beban kewangan yang besar.
Dengan kadar faedah yang rendah dan syarat pembayaran balik yang fleksibel, PTPK membolehkan peminjam untuk memulakan pembayaran setelah mereka tamat latihan dan mula bekerja.
Sejak penubuhannya, PTPK telah meluluskan lebih daripada 500,000 pinjaman, membantu individu untuk memperoleh kemahiran yang dapat meningkatkan peluang pekerjaan dan pendapatan mereka. Ini juga menyokong keperluan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi di Malaysia.
PTPK Login
Bagi pengguna baru, anda mesti mendaftar terlebih dahulu sebelum boleh log masuk ke akaun PTPK secara dalam talian.
Ikut langkah-langkah yang dikongsikan di bawah untuk cara mendaftar akaun PTPK:
Daftar Akaun PTPK – My Perkasa TVET
- Untuk mendaftar, layari laman web My Perkasa TVET di pautan berikut: https://myperkasatvet.ptpk.gov.my/portal/
- Klik butang “DAFTAR” pada bahagian atas sebelah kanan.
- Kemudian, anda perlu mengisi maklumat yang diperlukan, dan klik Daftar.
- Pastikan no telefon dan emel yang didaftarkan aktif.
- Ikuti arahan seterusnya sehingga akaun anda berjaya di daftarkan.
Log Masuk – PTPK Login
- Setelah pendaftaran berjaya, anda boleh layari portal My Perkasa TVET di pautan berikut: https://myperkasatvet.ptpk.gov.my/portal/
- Log masuk ke akaun PTPK anda dengan memasukkan no kad pengenalan dan kata laluan yang telah ditetapkan.
Terlupa Kata Laluan
Sekiranya anda terlupa kata laluan yang telah didaftarkan, klik “Perlukan Bantuan” dan ikuti arahan seterusnya untuk reset semula kata laluan anda.

Cara Semak Baki Pinjaman PTP Secara Dalam Talian
Untuk menyemak baki pinjaman PTPK, anda boleh mengikuti langkah-langkah berikut:
- Layari laman web My Perkasa TVET di pautan berikut: https://myperkasatvet.ptpk.gov.my/portal/
- Seterusnya, log masuk ke akaun anda dengan memasukkan nombor kad pengenalan dan kata laluan yang telah ditetapkan. Jika anda belum mendaftar, anda perlu mendaftar untuk mendapatkan akaun pengguna terlebih dahulu.
- Setelah log masuk, anda akan dapat menyemak rekod pinjaman, transaksi bayaran, tunggakan, baki terkini, pelarasan diskaun dan maklumat-maklumat lain di dalam portal ini.
Rujuk gambar di bawah untuk mengetahui langkah-langkah menyemak baki pinjaman PTPK dan info lain melalui portal My Perkasa TVET.






Pinjaman Latihan Kemahiran Islamik (PLK-i) PTPK Tahun 2024
Pinjaman Latihan Kemahiran Islamik (PLK-i) boleh dimohon oleh dua golongan:
- Golongan lepasan sekolah
- Golongan Pekerja
Apa itu Pinjaman Latihan Kemahiran Islamik (PLK-i)?
Pinjaman Latihan Kemahiran Islamik – Lepasan Sekolah merupakan satu skim pembiayaan latihan kemahiran yang disediakan kepada pelatih yang menyertai Program Latihan Kemahiran yang ditauliahkan oleh Jabatan pembangunan Kemahiran (JPK) dan diluluskan oleh PTPK.
Skim pembiayaan ini di sediakan khusus kepada lepasan sekolah ataupun belia yang ingin mengikuti Program Latihan Kemahiran sama ada di peringkat sijil atau diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia
(DLKM) di pusat-pusat Latihan Awam dan Swasta yang berdaftar dengan PTPK.
Di bawah rancangan Malaysia ke 10 (RMK – 10), perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) telah diberi tangungjawab unutk menguruskan Dana Pinjaman Peningkatan Kemahiran kepada golongan pekerja.
Ini bertujuan untuk meningkatkan kelayakan pekerja sama ada secara:
- Menjalani latihan semula (Reskilling)
- Menjalani latihan kemahiran baru untuk menyokong kemahiran kesedia ada (multiskilling)
- Menjalani latihan kemahiran untuk meningkatkan tahap (Upskilling)
- Menjalani latihan kemahiran bagi mendapatkan persijilan dari pengetahuan dan pengalaman kerja.
Elemen Pinjaman Kadar PLK – i
Terdapat 7 elemen pinjaman PLK-i mengikut kadar yang telah diluluskan oleh PTPK, iaitu:
- Yuran latihan: Kadar maksimum yang diluluskan oleh PTPK
- Kos Sara Hidup (KSH): Sehingga RM600 sebulan
- Takaful: Tertakluk kepada jumlah pinjaman tempoh perlindungan dan umur pemohon
- Kos MBOT: Seperti mana yang diluluskan oleh MBOT
- Elaun pengangkutan: RM 500 bagi pelatih menetap di semenanjung Malaysia, RM1000 bagi
pelatih yang menetap di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan. - Elaun komputer riba:Elaun komputer riba sebanyak RM 2500
- Pelatih yang mengikuti latihan di peringkat SKM Tahap 1, 2 dan 3 hanya dikhususkan bagi program dalam Sektor Teknologi Maklumat (ICT) sahaja
- Pelatih yang mengikuti di peringkat Diploma Kemahiran Malaysia (DMK) atau Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).
- Insentif atau bayaran lain: Kadar maksimum adalah sebagaimana yang diluluskan oleh Lembaga Pengarah PTPK.
Kriteria Kelayakan Pelatih
Berikut ialah syarat-syarat pelatih pinjaman latihan kemahiran islamik (PKL-i) yang ditetapkan:
- Warganegara Malaysia
- Berumur 15 – 55 tahun pada tahun permohonan
- Bukan seorang yang diisytiharkan muflis dan tidak disenari hitam oleh mana – mana institusi kewangan
- Sihat tubuh badan
- Permohonan dalam kategori Orang kelainan Upaya (OKU) mampu bekerja selepas tamat laihan dan mampu membayar balik pinjaman
- Tidak mendapat tajaan daripada mana – mana agensi kerajaan atau institusi kewangan yang lain dalam tempoh latihan yang diikuti
- Bukan teridir daripada pelajar sekolah atau penuntut yang sedang mengikuti pengajian di mana – mana institusi pengajian.
- Keutamaan diberikan kepada pelatih yang bukan terdiri daripada golongan pengurusan atau kumpulan profesional.
- Bagi pelatih yang sedang bekerja, hendaklah bekerja melebihi (6) bulan dan perlu mengemukakan surat kebenaran daripada majikan untuk mengikuti latihan kemahiran.
- Pelatih hendaklah mengikuti latihan di Penyelia Latihan (PL) yang berdaftar dengan PTPK dengan mengikuti kursus Persijilan Kemahiran Malaysia (PKM) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK)
- Bidang kursus kemahiran yang diikuti hendaklah diluluskan oleh PTPK di PL yang berdaftar dengan PTPK
Jenis Elaun Diberikan untuk Tahun 2024
Di bawah Skim Pinjaman TVET perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, peminjam akan mendapat:
- Elaun Komputer Riba (RM2500)
Jumlah Elaun Komputer adalah sebanyak RM2500 tertakluk kepada:
- Pelatih yang mengikuti latihan diperingkat SKM Tahap 1, 2, dan 3 hanya dikhususkan bagi program dalam sektor Teknologi Maklumat (ICT) sahaja.
- Pelatih yang mengikuti di peringkat Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) atau Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM)
- Tawaran pemberian elaun adalah tertakluk kepada pelatih yang BELUM menerima tawaran ini sahaja

- Elaun Pengangkutan
- Bagi pelatih yang menetap di Semenanjung Malaysia: RM500
- Bagi pelatih yang menetap di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan: RM1000

Maklumat Lanjut
Untuk sebarang maklumat lanjut., layari laman web rasmi PTPK di pautan berikut: https://www.ptpk.gov.my/
Atau, hubungi talian khidmat pelanggan PTPK di talian: +603-4051 6000. Anda juga boleh hantarkan emel ke alamat berikut untuk sebarang pertanyaan: skillsfund@ptpk.gov.my
INFO
“Yang langgar elok pula hidup!” – Kamal Adli berang dua beradik lumba kereta mewah, ragut nyawa empat sekeluarga

“Yang langgar elok pula hidup!” – Kamal Adli berang dua beradik lumba kereta mewah, ragut nyawa empat sekeluarga
SIKAP tidak bertanggungjawab segelintir pemandu yang menjadikan jalan raya awam sebagai litar lumba terus mengundang tragedi berdarah apabila empat nyawa sekeluarga yang tidak bersalah melayang dalam sekelip mata.
Insiden menyayat hati yang berlaku di Kilometer 27, Jalan Renggam-Simpang Renggam, Johor itu turut mendapat perhatian pelakon popular, Kamal Adli.
Kamal, 40, meluahkan rasa kesal dan berang dengan tindakan melulu pemandu terbabit yang langsung tidak memikirkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Kamal Adli Luah Rasa Bengang
Menerusi hantaran di platform Threads, suami kepada aktres Uqasha Senrose ini menyifatkan perbuatan berlumba di jalan raya yang sibuk terutamanya ketika musim orang ramai pulang ke kampung sebagai satu tindakan yang tidak masuk akal.
“Memang bodoh boleh berlumba tengah jalan-jalan sibuk orang balik dari kampung! Sampai orang tak bersalah yang meninggal! Bodoh gila!
“Yang langgar elok pula hidup! Tempatkan mereka bersama orang-orang beriman,” tulisnya penuh emosi.
Dalam pada itu, rata-rata netizen di ruangan komen turut bersetuju dengan kenyataan Kamal dan menzahirkan rasa simpati yang mendalam terhadap nasib malang yang menimpa keluarga berkenaan.
Kronologi Kemalangan Ngeri
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 1.15 tengah hari Isnin, kemalangan ngeri itu melibatkan lima buah kenderaan iaitu dua buah Mercedes-Benz A250, sebuah BMW 530e, Toyota Vios, Perodua Alza dan Proton Wira.
Siasatan pihak polis mendapati kemalangan berpunca daripada tindakan dua kenderaan mewah yang dipandu secara laju dan melulu.
Akibatnya, kereta BMW berkenaan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kenderaan yang dinaiki empat sekeluarga tersebut.
Pelumba Rupanya Adik-Beradik
Lebih mengejutkan, pemandu Mercedes-Benz yang terselamat dan pemandu BMW yang maut rupa-rupanya merupakan pasangan adik-beradik.
Pemandu BMW berusia 22 tahun dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah pada bahagian dada. Manakala adiknya yang berusia 19 tahun, pemandu Mercedes-Benz, kini ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tragedi ini turut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang menggesa pihak polis menyegerakan siasatan agar tindakan pendakwaan yang setimpal dapat diambil terhadap pelaku.
Sumber: ohmymedia
INFO
’Satu Keluarga Habis Licin…’ – Angkara Ego Kereta Mewah Berlumba, 4 Beranak Dijemput Ajal Serentak Di Simpang Renggam

‘Satu Keluarga Habis Licin…’ – Angkara Ego Kereta Mewah Berlumba, 4 Beranak Dijemput Ajal Serentak Di Simpang Renggam
SIAPA sangka, perjalanan petang yang disangka tenang bertukar menjadi sebuah tragedi berdarah yang paling menyayat hati. Kegembiraan sebuah keluarga hancur berkecai dalam sekelip mata apabila empat ahli keluarga terkorban serentak dalam satu kemalangan ngeri melibatkan lima buah kenderaan di Kilometer 27, Jalan Renggam-Simpang Renggam.
Lebih memilukan, insiden hitam ini dipercayai berpunca daripada sikap mementingkan diri dan ego pemandu dua buah kenderaan mewah yang memandu secara laju dan melulu di jalan awam.
Detik Cemas Rempuhan Berantai, BMW Meluncur Masuk Laluan Bertentangan
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.15 tengah hari itu membabitkan sebuah kereta Mercedes-Benz A250 dan sebuah BMW 530e. Kedua-dua kenderaan berkenaan dipercayai dipandu secara berbahaya dari arah Kluang menuju ke Simpang Renggam.
”Pemandu BMW 530e yang dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun itu dipercayai hilang kawalan akibat dipandu terlalu laju sebelum ia meluncur masuk ke laluan bertentangan.
”Kereta terbabit kemudiannya merempuh empat buah kenderaan lain yang sedang bergerak di laluan berkenaan iaitu Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah lagi Mercedes-Benz,” katanya.
Akibat impak rempuhan yang tersangat kuat, kereta BMW tersebut dilaporkan tercampak lalu terjatuh ke dalam gaung di seberang jalan.
Empat Beranak Dalam Toyota Vios Maut Di Tempat Kejadian
Sesiapa sahaja yang melihat foto kejadian pasti akan menitiskan air mata. Rempuhan itu telah mengorbankan pemandu Toyota Vios, seorang lelaki berusia 36 tahun, isterinya (33 tahun), seorang warga emas (73 tahun) dan seorang kanak-kanak perempuan sekecil 10 tahun. Dipercayai, kesemua mereka adalah ahli keluarga terdekat.
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan. Sementara itu, pemandu BMW berusia 22 tahun pula disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Tragedi ini turut menyebabkan dua lagi kanak-kanak berusia 11 dan tujuh tahun yang menaiki Perodua Alza mengalami kecederaan parah di kepala dan kini sedang bertarung nyawa di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang. Beberapa pemandu lain turut mengalami kecederaan di kaki, muka, dan dada.
Remaja 19 Tahun Ditahan Polis, Netizen Mula Berang
Susulan kejadian tersebut, pihak polis telah menahan pemandu Mercedes-Benz A250 yang baru berusia 19 tahun bagi membantu siasatan. Kenderaannya turut dirampas, bagaimanapun ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Berita ini ternyata mengundang kemarahan netizen di media sosial. Rata-rata mengecam tindakan pemandu-pemandu tersebut yang menjadikan jalan raya awam sebagai litar lumba peribadi sehingga mengorbankan nyawa orang lain yang tidak bersalah.
“Moga Ada Syurga Buat Kalian…” – Netizen Banjiri Ruangan Komen Dengan Doa
Menjengah ke ruangan komen di platform media sosial, suasana pilu menyelubungi netizen apabila memikirkan nasib waris yang ditinggalkan. Bayangkan, dalam satu tengah hari, terus hilang empat ahli keluarga sekaligus.
“Ya Allah, luluh hati saya membaca berita ni. Hilang satu keluarga sekaligus. Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tulis seorang netizen.
“Tolonglah haramkan pemandu-pemandu melulu macam ni daripada guna jalan raya. Kerana ego nak tunjuk hebat, anak orang lain jadi yatim piatu, keluarga orang lain hancur!” komen seorang lagi dengan nada kesal.
Pihak polis turut menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa bertimbang rasa dan berhati-hati ketika memandu. Ingatlah, keluarga kita da
n keluarga orang lain sedang menunggu di rumah.
Mari kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah buat para mangsa yang terkorban dan doakan kesembuhan buat anak-anak kecil yang masih kritikal di hospital.
Sumber: borakdaily
INFO
‘Tolong Kuat Ibu, Kami Tunggu Di Rumah’ – Warkah Rindu Anak Pendaki Wanita Hilang Di Gunung Batu Putih Sentuh Hati Netizen

‘Tolong Kuat Ibu, Kami Tunggu Di Rumah’ – Warkah Rindu Anak Pendaki Wanita Hilang Di Gunung Batu Putih Sentuh Hati Netizen
Anak Pendaki Wanita Hilang
SEJAK dilaporkan hilang pada 24 Mei lalu di Gunung Batu Putih, Tapah, Perak, misi pencarian pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, masih menjadi tumpuan utama seluruh rakyat Malaysia.
Terbaharu, tular di media sosial satu luahan hati yang amat menyayat hati daripada anak mangsa yang setia menanti kepulangan ibunya di rumah.
Warkah ringkas namun penuh emosi itu dikongsikan semula oleh pengguna akaun TikTok @darwisyahfaizal, sekali gus mengundang simpati dan air mata dalam kalangan netizen.
Anak Pendaki Wanita Hilang
“Ibu Insan Paling Kuat Saya Kenal”
Menerusi hantaran tersebut, si anak menyatakan keredaan dan ketabahannya dalam mendepani ujian yang amat berat ini, biarpun mengakui ada ketikanya dia berasa sangat tidak berdaya.
“Hai Ibu, saya tahu ibu kuat. Malah, ibu adalah antara insan paling kuat yang saya kenal. Saya tak dapat membayangkan apa yang sedang ibu lalui sekarang, tapi saya sentiasa berdoa agar Allah memberikan ibu kekuatan, ketenangan dan perlindungan untuk terus bertahan,” tulisnya.
Lebih meruntun jiwa, anak mangsa turut menitipkan kata-kata semangat agar ibunya tidak berputus asa di dalam hutan belantara berkenaan.
Dia juga memegang erat pesanan ibunya yang sering mengingatkan tentang kebaikan pencipta dalam apa jua keadaan sekalipun.
“Kami semua sedang menanti kepulangan ibu. Ada masanya saya berasa sangat tak berdaya, tapi saya cuba ingat kata-kata ibu: ‘Allah Maha Baik’. Ibu tak keseorangan. Allah sentiasa bersama ibu, dan kami juga sentiasa bersama ibu dari sini. Kami sayang ibu sangat-sangat,” luahnya lagi.
Anak Pendaki Wanita Hilang
Netizen Banjiri Ruangan Komen Dengan Doa
Menjenguk ke ruangan komen, rata-rata warga maya tidak dapat menahan sebak malah turut menumpahkan air mata membaca titipan rindu seorang anak kepada ibunya itu.
Ramai yang memberikan kata-kata semangat kepada keluarga mangsa agar terus cekal sementara menanti perkhabaran gembira daripada pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
“Allahuakbar, luruh jantung baca luahan anak dia. Semoga ada keajaiban buat Puan Jaslinda. Ya Allah, pulangkanlah ibu ini ke pangkuan anak-anaknya dalam keadaan selamat,” komen seorang netizen.
“Tak dapat bayangkan perasaan anak dia sekarang. Semoga pasukan SAR dipermudahkan urusan dan diberikan petunjuk segera,” tambah seorang lagi pengguna TikTok.
Untuk rekod, operasi SAR bagi mengesan Jaslinda Saludin yang hilang di kawasan pergunungan tersebut masih giat dijalankan oleh pihak berkuasa dengan bantuan pelbagai agensi dan malim gunung.
Sama-sama kita doakan agar Puan Jaslinda segera ditemui dengan selamat.
Sumber: borakdaily
Keluarga6 years agoSering kali Anak Sulung Selalu Kena Marah Tapi Sebenarnya Paling Istimewa Di Hati Ibu Ayah
Resepi Viral6 years ago10 Resepi Ayam Berkuah Hidangan Menarik Ditengah hari
AGAMA7 years agoSatu kuku panjang ibarat bela sekandang b4bi? Inilah dosa bela kuku panjang
AGAMA7 years agoSatu-satunya manusia yang bukan nabi, bukan pula Rasul, tapi kisah hidupnya diabadikan dalam Qur’an
AGAMA6 years agoCara Meruqyah Anak Yang Malas Untuk Belajar
AGAMA6 years agoCara Senang Hafal Surah Al- Khafi Ayat 1 Hingga 10.
AGAMA6 years agoNafkah untuk isteri tak termasuk keperluan barang dapur, Para suami kena ingat dan Wajib tahu.
AGAMA7 years ago5 doa yang buat rezeki anda datang dari arah tak disangka, lancar dan berkah






