INFO
Cara Check Saman Polis JPJ & AES Secara Online

Cara Check Saman Polis JPJ & AES Secara Online
Di zaman serba digital ini, banyak urusan harian menjadi lebih mudah dengan adanya kemudahan dalam talian.
Pengguna kini boleh melakukan pelbagai semakan secara dalam talian termasuklah membuat semakan saman polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan Automated Enforcement System (AES).
Dengan adanya teknologi kini, proses menyemak saman boleh dilakukan dengan mudah dan pantas tanpa perlu ke balai polis atau pejabat JPJ. Semakan boleh dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Sangat mudah!
Sekiranya anda ingin mengetahui cara check saman polis JPJ AES secara online, anda boleh rujuk perkongsian di bawah.
BACA JUGA: Cara Mudah Bayar Saman Di Mesin ATM, Dah Tak Perlu Beratur Panjang
Saman Polis, JPJ & AES
Sebelum kita memahami cara menyemak saman, adalah penting untuk memahami apa itu saman polis, JPJ, dan AES.
Saman Polis
Saman polis biasanya dikeluarkan oleh pihak berkuasa polis trafik jika anda melanggar peraturan lalu lintas, seperti memandu melebihi had laju atau tidak mematuhi lampu isyarat.
Saman JPJ
Saman JPJ pula merangkumi pelbagai kesalahan jalan raya yang berkaitan dengan peraturan JPJ, seperti tidak mempunyai cukai jalan atau lesen memandu yang sah.
Automated Enforcement Systems (AES)
AES pula adalah sistem automatik yang dipasang di beberapa lokasi strategik di seluruh negara untuk mengesan kesalahan lalu lintas secara automatik, seperti memandu laju atau melanggar lampu merah.
Jika anda melakukan kesalahan di lokasi yang dipasang AES, saman akan dikeluarkan secara automatik tanpa kehadiran anggota penguat kuasa.
Cara Check Saman Polis JPS AES Secara Online
1. Cara Check Saman Polis Secara Online Melalui Portal MyEG

Salah satu cara yang paling popular dan mudah untuk menyemak saman polis adalah melalui portal MyEG. Berikut adalah cara check saman menggunakan MyEG:
Langkah 1: Layari laman web rasmi MyEG di www.myeg.com.my. Klik “Login/Resgiter” pada bahagian hujung kanan skrin.
Langkah 2: Jika anda belum mempunyai akaun, klik “Create Account” untuk daftar akaun baru. Isi sema maklumat yang diperlukan seperti nombor kad pengenalan, alamat e-mel, dan kata laluan. Jika sudah mempunyai akaun, terus log masuk menggunakan maklumat anda.
Langkah 3: Setelah log masuk, pilih menu “Polis Diraja Malaysia (PDRM)”. Anda akan melihat beberapa pilihan seperti “Semak Saman” dan “Bayar Saman”. Pilih “Semak Saman.”
Langkah 4: Masukkan nombor kad pengenalan atau nombor plat kenderaan anda untuk melihat saman yang mungkin dikeluarkan.
Langkah 5: Keputusan akan dipaparkan, dan anda boleh melihat butiran saman yang dikenakan ke atas anda. Anda juga boleh terus membayar saman tersebut melalui portal MyEG jika ingin menyelesaikannya dengan segera.
2. Cara Check Saman Polis dan AES Secara Online Melalui Portal MyBayar Saman
Portal MyBayar Saman adalah khusus untuk menyemak dan membayar saman yang dikeluarkan oleh PDRM sahaja. Ini termasuk:
- Saman Trafik: Semua saman yang dikeluarkan oleh PDRM berkaitan pelanggaran undang-undang trafik. Ini termasuk kesalahan seperti memandu melebihi had laju, tidak mematuhi lampu isyarat, dan pelanggaran lain yang melibatkan peraturan jalan raya.
- Saman AES: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) juga merupakan sebahagian daripada saman yang boleh diperiksa melalui MyBayar Saman. AES merujuk kepada saman yang dikeluarkan melalui kamera pengawasan bagi kesalahan lalu lintas tertentu.
Rujuk cara check saman polis dan AES di bawah:
Langkah 1: Muat turun aplikasi MyBayar Saman di peranti (telefon bimbit) anda.
Langkah 2: Untuk menggunakan MyBayar Saman, pengguna perlu mendaftar terlebih dahulu. Klik “Sign Up As New User”.
Langkah 3: Setelah pendaftaran, log masuk ke dalam akaun anda menggunakan nombor kad pengenalan dan kata laluan yang telah didaftarkan.
Langkah 4: Di dalam portal, pilih pilihan untuk semakan saman dan masukkan maklumat yang diperlukan seperti nombor kad pengenalan atau nombor plat kenderaan. Hasil semakan akan memaparkan semua saman yang dikenakan ke atas anda.
Langkah 5: Setelah menyemak, anda juga boleh terus melakukan pembayaran saman melalui portal tersebut dengan memilih kaedah pembayaran yang sesuai.
NOTA: MyBayar Saman tidak termasuk saman yang dikeluarkan oleh agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau mana-mana badan penguatkuasa lain. Oleh itu, jika anda ingin menyemak saman JPJ atau agensi lain, anda perlu menggunakan saluran rasmi mereka.
3. Cara Check Saman JPJ dan AES Secara Online Melalui Portal MySikap

MySikap adalah portal rasmi yang disediakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia untuk memudahkan pengguna menyemak saman yang dikeluarkan oleh JPJ dan juga Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Rujuk langkah-langkah berikut untuk mengetahui cara check saman melalui MySikap:
Langkah 1: Layari Portal MySikap di pautan berikut: public.jpj.gov.my.
Langkah 2: Bagi pengguna kali pertama, klik “Daftar / Log Masuk Kali Pertama” di halaman utama untuk mendaftar.
Langkah 3: Bagi yang sudah mempunyai akaun, untuk log masuk, anda perlu memilih kategori ID sama ada Individu atau Syarikat. Kemudian, masukkan ID Pengguna serta Kata Laluan dan Kod Sekuriti yang dijana. Klik, “Log Masuk”.
Langkah 4: Setelah log masuk, pilih menu “Kesalahan & Penalti” untuk membuat semakan saman anda.
Langkah 5: Pilih “Jenis Semakan” dan klik “OK”.
Langkah 6: Anda akan dapat melihat senarai saman yang dikenakan ke atas anda, termasuk tarikh kesalahan, lokasi, jenis kesalahan, dan jumlah denda yang perlu dibayar.
Langkah 7: Bagi membuat pembayaran saman, anda boleh klik “Pembayaran Saman” di bahagian bawah halaman.
4. Cara Check Saman Melalui SSO-PDRM

SSO-PDRM (Sistem Semakan Online PDRM) adalah platform yang disediakan oleh Polis Diraja Malaysia untuk membolehkan pengguna menyemak status perkhidmatan polis, termasuk Status Laporan Polis dan Status Saman Trafik. SSO-PDRM hanya boleh digunakan untuk menyemak saman yang dikeluarkan oleh PDRM.
Berikut ialah cara check saman menggunakan Portal Sistem Semakan Online (SSO):
Langkah 1: Layari Sistem Semakan Online Polis Diraja Malaysia di pautan berikut: http://sso.rmp.gov.my/.
Langkah 2: Bagi pengguna baru, anda perlu mendaftar akaun terlebih dahulu. Klik “Pendaftaran Baru”.
Langkah 3: Setelah itu, log masuk menggunakan nama pengguna dan kata laluan yang telah didaftarkan.
Langkah 4: Untuk menyemak saman, klik pada ikon ‘Status Saman’ dan masukkan Nombor Kad Pengenalan atau No Plat Kenderaan anda.
5. Cara Semak Saman Trafik melalui SMS
Sediakan maklumat yang diperlukan seperti Nombor Kad Pengenalan (MyKad) atau Nombor Pendaftaran Kenderaan untuk check saman anda menggunakan SMS.
- Untuk menyemak saman yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), taip mesej dalam format berikut: POLIS<jarak>SAMAN<jarak>[No Kad Pengenalan atau No Plat Kenderaan] ke 15888 atau 32728.
- Untuk menyemak saman yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), taip mesej dalam format berikut: JPJ<jarak>SAMAN<jarak>[No Kad Pengenalan atau No Plat Kenderaan] ke 15888.
Kelebihan Menyemak dan Membayar Saman Secara Online
1. Jimat Masa dan Tenaga
Salah satu kelebihan terbesar menyemak dan membayar saman secara online ialah anda dapat jimatkan masa dan tenaga.
Anda tidak perlu lagi beratur panjang di balai polis atau pejabat JPJ untuk mendapatkan maklumat saman atau membuat bayaran. Dengan hanya beberapa klik di hujung jari, anda boleh mengakses maklumat saman dan menyelesaikannya tanpa perlu keluar rumah pun.
2. Proses Mudah dan Pantas
Proses semakan dan pembayaran saman secara online sangat mudah dan pantas. Anda hanya perlu layari portal rasmi atau aplikasi yang disediakan, masukkan maklumat seperti nombor kad pengenalan atau nombor plat kenderaan, dan maklumat saman akan dipaparkan dengan segera. Bayaran juga boleh dilakukan dengan cepat menggunakan perbankan internet atau kad kredit.
3. Akses 24/7
Sistem online membolehkan anda menyemak dan membayar saman pada bila-bila masa, 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. Ini sangat memudahkan mereka yang mempunyai jadual kerja yang sibuk atau sukar meluangkan masa untuk berurusan di kaunter pejabat. Dengan akses tanpa had, anda boleh membuat urusan saman pada waktu yang paling sesuai bagi anda.
4. Elakkan Kenaikan Denda
Apabila anda menyemak saman secara berkala dan membayar dengan cepat, anda dapat mengelakkan daripada dikenakan penalti tambahan atau kenaikan denda. Sesetengah saman akan meningkat nilainya jika tidak dibayar dalam tempoh yang ditetapkan. Dengan adanya sistem dalam talian, anda boleh melakukan semakan saman dengan lebih awal dan membuat pembayaran sebelum tarikh luput denda.
5. Kemudahan Pelbagai Kaedah Pembayaran
Pembayaran saman secara online menyediakan pelbagai kaedah pembayaran yang fleksibel. Anda boleh memilih untuk membayar menggunakan kad debit, kad kredit, perbankan internet, atau melalui e-dompet seperti Boost dan Touch ‘n Go.
Cara Dapatkan Diskaun Saman
Untuk mendapatkan diskaun saman, anda perlu sentiasa memeriksa media sosial rasmi Pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan).
Biasanya, terdapat promosi diskaun diadakan bagi menggalakkan orang ramai menjelaskan saman mereka.
Tipsnya:
- Ikuti Pengumuman Rasmi
Pihak PDRM dan JPJ akan mengumumkan tawaran diskaun melalui saluran rasmi mereka. Anda perlu peka dengan pengumuman yang dikeluarkan, terutamanya semasa musim perayaan atau acara khas seperti Hari Kebangsaan. Diskaun ini biasanya diumumkan di laman web rasmi mereka atau melalui media sosial.
- Facebook Rasmi PDRM: Pastikan anda mengikuti halaman Facebook PDRM untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai diskaun saman.
- Portal Rasmi JPJ: Layari laman web JPJ untuk sebarang pengumuman mengenai diskaun saman.
- Manfaatkan Tempoh Diskaun
Diskaun saman biasanya akan ditawarkan dalam tempoh tertentu sahaja. Sebagai contoh, sempena Hari Kebangsaan, PDRM mungkin menawarkan diskaun sehingga 50% untuk saman tertentu. Oleh itu, penting untuk memeriksa tarikh-tarikh penting ini agar anda tidak terlepas peluang.
Akhir kata, jangan lupa bayar saman!
INFO
“Yang langgar elok pula hidup!” – Kamal Adli berang dua beradik lumba kereta mewah, ragut nyawa empat sekeluarga

“Yang langgar elok pula hidup!” – Kamal Adli berang dua beradik lumba kereta mewah, ragut nyawa empat sekeluarga
SIKAP tidak bertanggungjawab segelintir pemandu yang menjadikan jalan raya awam sebagai litar lumba terus mengundang tragedi berdarah apabila empat nyawa sekeluarga yang tidak bersalah melayang dalam sekelip mata.
Insiden menyayat hati yang berlaku di Kilometer 27, Jalan Renggam-Simpang Renggam, Johor itu turut mendapat perhatian pelakon popular, Kamal Adli.
Kamal, 40, meluahkan rasa kesal dan berang dengan tindakan melulu pemandu terbabit yang langsung tidak memikirkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Kamal Adli Luah Rasa Bengang
Menerusi hantaran di platform Threads, suami kepada aktres Uqasha Senrose ini menyifatkan perbuatan berlumba di jalan raya yang sibuk terutamanya ketika musim orang ramai pulang ke kampung sebagai satu tindakan yang tidak masuk akal.
“Memang bodoh boleh berlumba tengah jalan-jalan sibuk orang balik dari kampung! Sampai orang tak bersalah yang meninggal! Bodoh gila!
“Yang langgar elok pula hidup! Tempatkan mereka bersama orang-orang beriman,” tulisnya penuh emosi.
Dalam pada itu, rata-rata netizen di ruangan komen turut bersetuju dengan kenyataan Kamal dan menzahirkan rasa simpati yang mendalam terhadap nasib malang yang menimpa keluarga berkenaan.
Kronologi Kemalangan Ngeri
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 1.15 tengah hari Isnin, kemalangan ngeri itu melibatkan lima buah kenderaan iaitu dua buah Mercedes-Benz A250, sebuah BMW 530e, Toyota Vios, Perodua Alza dan Proton Wira.
Siasatan pihak polis mendapati kemalangan berpunca daripada tindakan dua kenderaan mewah yang dipandu secara laju dan melulu.
Akibatnya, kereta BMW berkenaan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kenderaan yang dinaiki empat sekeluarga tersebut.
Pelumba Rupanya Adik-Beradik
Lebih mengejutkan, pemandu Mercedes-Benz yang terselamat dan pemandu BMW yang maut rupa-rupanya merupakan pasangan adik-beradik.
Pemandu BMW berusia 22 tahun dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah pada bahagian dada. Manakala adiknya yang berusia 19 tahun, pemandu Mercedes-Benz, kini ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tragedi ini turut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang menggesa pihak polis menyegerakan siasatan agar tindakan pendakwaan yang setimpal dapat diambil terhadap pelaku.
Sumber: ohmymedia
INFO
’Satu Keluarga Habis Licin…’ – Angkara Ego Kereta Mewah Berlumba, 4 Beranak Dijemput Ajal Serentak Di Simpang Renggam

‘Satu Keluarga Habis Licin…’ – Angkara Ego Kereta Mewah Berlumba, 4 Beranak Dijemput Ajal Serentak Di Simpang Renggam
SIAPA sangka, perjalanan petang yang disangka tenang bertukar menjadi sebuah tragedi berdarah yang paling menyayat hati. Kegembiraan sebuah keluarga hancur berkecai dalam sekelip mata apabila empat ahli keluarga terkorban serentak dalam satu kemalangan ngeri melibatkan lima buah kenderaan di Kilometer 27, Jalan Renggam-Simpang Renggam.
Lebih memilukan, insiden hitam ini dipercayai berpunca daripada sikap mementingkan diri dan ego pemandu dua buah kenderaan mewah yang memandu secara laju dan melulu di jalan awam.
Detik Cemas Rempuhan Berantai, BMW Meluncur Masuk Laluan Bertentangan
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.15 tengah hari itu membabitkan sebuah kereta Mercedes-Benz A250 dan sebuah BMW 530e. Kedua-dua kenderaan berkenaan dipercayai dipandu secara berbahaya dari arah Kluang menuju ke Simpang Renggam.
”Pemandu BMW 530e yang dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun itu dipercayai hilang kawalan akibat dipandu terlalu laju sebelum ia meluncur masuk ke laluan bertentangan.
”Kereta terbabit kemudiannya merempuh empat buah kenderaan lain yang sedang bergerak di laluan berkenaan iaitu Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah lagi Mercedes-Benz,” katanya.
Akibat impak rempuhan yang tersangat kuat, kereta BMW tersebut dilaporkan tercampak lalu terjatuh ke dalam gaung di seberang jalan.
Empat Beranak Dalam Toyota Vios Maut Di Tempat Kejadian
Sesiapa sahaja yang melihat foto kejadian pasti akan menitiskan air mata. Rempuhan itu telah mengorbankan pemandu Toyota Vios, seorang lelaki berusia 36 tahun, isterinya (33 tahun), seorang warga emas (73 tahun) dan seorang kanak-kanak perempuan sekecil 10 tahun. Dipercayai, kesemua mereka adalah ahli keluarga terdekat.
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan. Sementara itu, pemandu BMW berusia 22 tahun pula disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Tragedi ini turut menyebabkan dua lagi kanak-kanak berusia 11 dan tujuh tahun yang menaiki Perodua Alza mengalami kecederaan parah di kepala dan kini sedang bertarung nyawa di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang. Beberapa pemandu lain turut mengalami kecederaan di kaki, muka, dan dada.
Remaja 19 Tahun Ditahan Polis, Netizen Mula Berang
Susulan kejadian tersebut, pihak polis telah menahan pemandu Mercedes-Benz A250 yang baru berusia 19 tahun bagi membantu siasatan. Kenderaannya turut dirampas, bagaimanapun ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Berita ini ternyata mengundang kemarahan netizen di media sosial. Rata-rata mengecam tindakan pemandu-pemandu tersebut yang menjadikan jalan raya awam sebagai litar lumba peribadi sehingga mengorbankan nyawa orang lain yang tidak bersalah.
“Moga Ada Syurga Buat Kalian…” – Netizen Banjiri Ruangan Komen Dengan Doa
Menjengah ke ruangan komen di platform media sosial, suasana pilu menyelubungi netizen apabila memikirkan nasib waris yang ditinggalkan. Bayangkan, dalam satu tengah hari, terus hilang empat ahli keluarga sekaligus.
“Ya Allah, luluh hati saya membaca berita ni. Hilang satu keluarga sekaligus. Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tulis seorang netizen.
“Tolonglah haramkan pemandu-pemandu melulu macam ni daripada guna jalan raya. Kerana ego nak tunjuk hebat, anak orang lain jadi yatim piatu, keluarga orang lain hancur!” komen seorang lagi dengan nada kesal.
Pihak polis turut menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa bertimbang rasa dan berhati-hati ketika memandu. Ingatlah, keluarga kita da
n keluarga orang lain sedang menunggu di rumah.
Mari kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah buat para mangsa yang terkorban dan doakan kesembuhan buat anak-anak kecil yang masih kritikal di hospital.
Sumber: borakdaily
INFO
‘Tolong Kuat Ibu, Kami Tunggu Di Rumah’ – Warkah Rindu Anak Pendaki Wanita Hilang Di Gunung Batu Putih Sentuh Hati Netizen

‘Tolong Kuat Ibu, Kami Tunggu Di Rumah’ – Warkah Rindu Anak Pendaki Wanita Hilang Di Gunung Batu Putih Sentuh Hati Netizen
Anak Pendaki Wanita Hilang
SEJAK dilaporkan hilang pada 24 Mei lalu di Gunung Batu Putih, Tapah, Perak, misi pencarian pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, masih menjadi tumpuan utama seluruh rakyat Malaysia.
Terbaharu, tular di media sosial satu luahan hati yang amat menyayat hati daripada anak mangsa yang setia menanti kepulangan ibunya di rumah.
Warkah ringkas namun penuh emosi itu dikongsikan semula oleh pengguna akaun TikTok @darwisyahfaizal, sekali gus mengundang simpati dan air mata dalam kalangan netizen.
Anak Pendaki Wanita Hilang
“Ibu Insan Paling Kuat Saya Kenal”
Menerusi hantaran tersebut, si anak menyatakan keredaan dan ketabahannya dalam mendepani ujian yang amat berat ini, biarpun mengakui ada ketikanya dia berasa sangat tidak berdaya.
“Hai Ibu, saya tahu ibu kuat. Malah, ibu adalah antara insan paling kuat yang saya kenal. Saya tak dapat membayangkan apa yang sedang ibu lalui sekarang, tapi saya sentiasa berdoa agar Allah memberikan ibu kekuatan, ketenangan dan perlindungan untuk terus bertahan,” tulisnya.
Lebih meruntun jiwa, anak mangsa turut menitipkan kata-kata semangat agar ibunya tidak berputus asa di dalam hutan belantara berkenaan.
Dia juga memegang erat pesanan ibunya yang sering mengingatkan tentang kebaikan pencipta dalam apa jua keadaan sekalipun.
“Kami semua sedang menanti kepulangan ibu. Ada masanya saya berasa sangat tak berdaya, tapi saya cuba ingat kata-kata ibu: ‘Allah Maha Baik’. Ibu tak keseorangan. Allah sentiasa bersama ibu, dan kami juga sentiasa bersama ibu dari sini. Kami sayang ibu sangat-sangat,” luahnya lagi.
Anak Pendaki Wanita Hilang
Netizen Banjiri Ruangan Komen Dengan Doa
Menjenguk ke ruangan komen, rata-rata warga maya tidak dapat menahan sebak malah turut menumpahkan air mata membaca titipan rindu seorang anak kepada ibunya itu.
Ramai yang memberikan kata-kata semangat kepada keluarga mangsa agar terus cekal sementara menanti perkhabaran gembira daripada pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
“Allahuakbar, luruh jantung baca luahan anak dia. Semoga ada keajaiban buat Puan Jaslinda. Ya Allah, pulangkanlah ibu ini ke pangkuan anak-anaknya dalam keadaan selamat,” komen seorang netizen.
“Tak dapat bayangkan perasaan anak dia sekarang. Semoga pasukan SAR dipermudahkan urusan dan diberikan petunjuk segera,” tambah seorang lagi pengguna TikTok.
Untuk rekod, operasi SAR bagi mengesan Jaslinda Saludin yang hilang di kawasan pergunungan tersebut masih giat dijalankan oleh pihak berkuasa dengan bantuan pelbagai agensi dan malim gunung.
Sama-sama kita doakan agar Puan Jaslinda segera ditemui dengan selamat.
Sumber: borakdaily
Keluarga6 years agoSering kali Anak Sulung Selalu Kena Marah Tapi Sebenarnya Paling Istimewa Di Hati Ibu Ayah
Resepi Viral6 years ago10 Resepi Ayam Berkuah Hidangan Menarik Ditengah hari
AGAMA7 years agoSatu kuku panjang ibarat bela sekandang b4bi? Inilah dosa bela kuku panjang
AGAMA7 years agoSatu-satunya manusia yang bukan nabi, bukan pula Rasul, tapi kisah hidupnya diabadikan dalam Qur’an
AGAMA6 years agoCara Meruqyah Anak Yang Malas Untuk Belajar
AGAMA6 years agoCara Senang Hafal Surah Al- Khafi Ayat 1 Hingga 10.
AGAMA6 years agoNafkah untuk isteri tak termasuk keperluan barang dapur, Para suami kena ingat dan Wajib tahu.
AGAMA7 years ago5 doa yang buat rezeki anda datang dari arah tak disangka, lancar dan berkah





