Connect with us

INFO

Anak Ada Dua Pusar Di Kepala Cenderung Untuk Nakal & Tidak Mendengar Kata? Ini 3 Info Yang Perlu Anda Tahu

Published

on

dua pusar di kepala

Anak Ada Dua Pusar Di Kepala Cenderung Untuk Nakal & Tidak Mendengar Kata? Ini 3 Info Yang Perlu Anda Tahu

Anak adalah kurniaan yang paling besar diberikan oleh Allah SWT kepada pasangan suami isteri. Hadirnya sebagai anugerah, ketiadaanya juga adalah berlandaskan rezeki yang telah ditetapkan kepada kita. Mendidik anak adalah tanggungjawab, dan amanah sebagai seorang ibu bapa. Wajar sekiranya anak-anak mempunyai kenakalannya tersendiri, tetapi adakah benar ia dikaitkan dengan dua pusar di kepala?

dua pusar di kepala

Mitos ada dua pusar di kepala, anak degil & banyak akal

Sejauh mana kita yakin bahawa anak-anak yang degil ini disebabkan fizikalnya yang mempunyai dua pusar di kepala? Adakah ia sekadar bualan orang lama dari mulut ke mulut tanpa bukti, dan penjelasan yang retorik? Atau memang sahih dengan kajian saintifiknya?

Menurut Noor Afidah Abu Bakar, Certified Positive Parenting Educator, tidak wajar jika anak yang baru lahir dilabel jahat oleh segelintir orang tua sedangkan dia masih baru sehari menjenguk dunia, dan belum terdidik oleh ibu bapanya lagi.

“Jika begitulah persepsi masyarakat dari awal, maka segala kebaikan anak akan tertutup dengan tingkah lakunya yang sedikit menguji kesabaran,” katanya.

Berhentilah membawa kepercayaan karut ini dalam masyarakat kerana ia memang tidak berasas sama sekali. Kemungkinan besar sebilangan orang yang mempunyai pengalaman anak memiliki dua pusar di kepala ini berhadapan dengan masalah tingkah laku. Lalu kerana tiada alasan untuk mempertahankan diri, maka disalahkan fizikal anaknya itu sendiri.

Faktor gen manusia menyebabkan pusar di kepala anak?

Dapatan kajian daripada National Genome Research Institute menyatakan bahawa, kira-kira 5% penduduk dunia mempunyai dua pusar kerana ia berkaitan dengan gen.

Menurut Doktor Abdul Rahim, dua atau tiga pusar di kepala bukanlah perkara yang pelik dalam dunia perubatan. Ia sebenarnya berlaku kerana pusar rambut akan tumbuh mengikut pattern arah jam atau lawan jam.

Membentuk seakan-akan bulatan yang mempunyai titik berpusat di tengah-tengahnya. Malah ia sudah berlaku di dalam kandungan ibu lagi. Lantas mengukuhkan lagi pendapat bahawa pusar di kepala tiada langsung kaitannya dengan perangai anak.

Mitos dua pusar di kepala menjadi rebutan dua roh?

Kepercayaan yang diyakini dari zaman nenek moyang lagi ini bukan hanya berada dalam masyarakat Melayu sahaja. Malah ia berkembang meluas dalam kalangan masyarakat Cina, Vietnam, Filipina, Amerika, Portugis, dan beberapa negara lain.

Namun begitu, apabila mitos ini telah mengaitkan tentang perihal agama, ia perlu disangkal dengan panduan Al-Quran, dan Sunnah. Dalam sudut pandang Islam, tidak ada sama sekali dinyatakan mitos tentang perkara ini sama ada dalam Al-Quran atau Hadis.

Apabila tiada kedua-duanya, maka ibu bapa perlu merujuk kepada penemuan hasil kajian saintifik oleh pakar yang arif dalam menjelaskan perkara tersebut.

dua pusar di kepala

Luahan hati seorang ibu yang memiliki anak dua pusar di kepala

Perkongsian luahan hati seorang ibu tentang bagaimana penerimaan masyarakat terhadap anak yang memiliki dua pusar di kepala ini, menyedarkan kita bahawa tanggapan negatif perlu dileraikan dari terus menguasai cara fikir komuniti masyarakat.

Sejak awal kelahirannya, anak itu sudah dimomokkan dengan tanggapan dari orang-orang tua agar bersiap sedia dengan karenah nakalnya nanti. Membesarnya anak tersebut sama sahaja seperti anak-anak lain.

Kadang ada sukanya, kadang ada juga ragamnya. Tetapi itu memang adat dalam tumbesaran kanak-kanak. Namun setiap kali, berlaku apa-apa, pasti jari pantas sahaja ditundingkan kepada anak yang memiliki dua pusar ini. Sedangkan tidak ada justifikasi yang tepat untuk meletakkan 100% kesalahan padanya.

“Dia dua pusar, maka dia lasak.” Itulah tanggapan yang bermain dalam fikiran masyarakat. Sekiranya tanggapan ini telah dibina oleh karakter seorang anak, lalu bagaimana untuk mereka membentuk sahsiah mulia sejak kecil lagi?

Hakikatnya, anak yang memilki dua pusar sama sahaja seperti kanak-kanak lain. Akhlak, dan personalitinya dibentuk bukan dari fizikal tetapi dari ajaran, dan didikan oleh ibu bapa sendiri.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap kelahiran (anak kecil) dilahirkan dalam keadaan fitrah.” – (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Oleh yang demikian, hargailah anak sebagai anugerah yang harus dididik, dan diasuh dengan sebaik mungkin kerana ia amanah yang bakal dipertanggungjawabkan kelak.

Sumber: Mingguan Wanita

Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

2024 Majalah Ilmu © Hak Cipta Terpelihara.