INFO
Kata Bantu: Jenis, Contoh Penggunaan & Kesalahan Umum

Kata bantu adalah merupakan salah satu tatabahasa Bahasa Melayu yang memainkan peranan penting dalam penulisan mahupun percakapan. Ia berfungsi untuk memperjelas dan memperkaya makna dalam ayat.
Artikel kali ini akan berkongsi mengenai apa itu Kata Bantu, jenis-jenisnya, fungsi, serta contoh penggunaannya dalam konteks yang berbeza.
BACA JUGA: Kata Ganda: Jenis & Contoh Penggunaan
Apa Itu Kata Bantu?

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, kata bantu ialah kata tugas yang berfungsi untuk menambahkan makna pada frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama.
Ia tidak mempunyai makna penuh sendiri tetapi berfungsi untuk memberikan makna tambahan kepada kata kerja yang diikutinya.
Dalam bahasa Melayu, ia sering kali digunakan untuk menjelaskan aspek tertentu dalam ayat seperti masa, kepastian, atau kebolehan.
Dengan penggunaan kata bantu, ayat menjadi lebih spesifik dan jelas, membantu pendengar atau pembaca memahami konteks dan maksud yang ingin disampaikan.
Fungsi Kata Bantu
Kata bantu memainkan beberapa fungsi penting dalam bahasa Melayu:
- Memperjelas Makna: Dengan menggunakan katabantu, penulis atau pembicara dapat memberikan maklumat tambahan yang membantu pendengar atau pembaca memahami konteks ayat yang ditulis/disampaikan dengan lebih baik.
- Mengubah Suasana Ayat: Kata bantu juga dapat mengubah nada atau suasana ayat. Misalnya, penggunaan kata bantu seperti “pasti” atau “tentu” dapat memberikan keyakinan kepada pendengar.
- Membantu Struktur Ayat: Dalam penulisan, penggunaan kata bantu dapat membantu dalam membina struktur ayat yang lebih kompleks dan menarik.
Jenis Kata Bantu & Contoh Ayat
Kata bantu terbahagi kepada dua, iaitu kata bantu aspek dan kata bantu ragam, iaitu:
A. Kata Bantu Aspek

Kata bantu aspek menyatakan suasana perbezaan masa, iaitu sama ada masa lampau, masa ini atau masa hadapan. Penggunaan katabantu aspek ini penting untuk memberikan konteks masa kepada sesuatu ayat, menjadikannya lebih jelas dan tepat.
Berikut ialah contoh kata bantu aspek:
- Telah: Menunjukkan perbuatan yang telah berlaku.
- Sedang: Menunjukkan perbuatan yang sedang berlaku.
- Akan: Menunjukkan perbuatan yang akan berlaku.
- Baru: Menunjukkan perbuatan yang baru berlaku.
- Pernah: Menunjukkan perbuatan yang sudah pernah berlaku.
- Masih: Menunjukkan perbuatan yang masih berlaku.
- Belum: Menunjukkan perbuatan yang belum berlaku.
Cara Penggunaan
Katabantu aspek diletakkan sebelum kata kerja utama untuk menunjukkan masa perbuatan.
- Telah: “Dia telah menyiapkan kerja rumahnya.”
- Sedang: “Mereka sedang bermain bola di padang.”
- Akan: “Saya akan pergi ke pasar malam esok.”
Contoh Ayat Menggunkan Kata Bantu Aspek
Berikut adalah contoh ayat untuk kata bantu aspek:
1. Telah:
“Selepas bertahun-tahun berusaha dengan gigih dan tidak mengenal erti putus asa, akhirnya Encik Haris telah berjaya mengembangkan perniagaannya ke seluruh negara, menjadi salah satu jenama yang paling dipercayai dan terkenal dalam industri makanan organik.”
2. Sedang:
“Pagi tadi, sewaktu saya melintasi taman di hadapan rumah, saya ternampak sepasang burung merpati yang cantik sedang membina sarang mereka dengan penuh kesabaran, menggunakan ranting-ranting kecil dan daun-daun kering yang dikutip dari sekeliling.”
3. Akan:
“Pihak sekolah telah mengumumkan bahawa minggu hadapan, pelajar-pelajar Tahun 6 akan menghadiri lawatan pendidikan ke Muzium Negara, di mana mereka akan diberi peluang untuk belajar tentang sejarah dan kebudayaan negara secara lebih mendalam melalui pameran interaktif yang disediakan.”
4. Masih:
“Walaupun hari sudah menjelang senja dan semua orang telah pulang ke rumah masing-masing, Pak Cik Ramli masih berada di kebunnya.”
5. Belum:
“Walaupun hujung tahun sudah hampir tiba dan persiapan untuk majlis perkahwinan adik saya semakin rancak, kami belum memutuskan tema dekorasi utama untuk majlis tersebut.”
6. Pernah:
“Ketika berbual dengan datuk saya tentang pengalamannya semasa muda, beliau bercerita bahawa beliau pernah berkelana ke serata pelosok negara bersama kawan-kawannya, menjelajah kampung-kampung terpencil dan mengalami pelbagai peristiwa menarik yang sukar dilupakan sehingga kini.”
7. Baru:
” Encik Ahmad baru berpindah ke rumah baharu mereka di pinggir bandar, yang mempunyai taman yang luas dan persekitaran yang tenang, sesuatu yang mereka impikan sejak sekian lama.”
B. Kata Bantu Ragam

Katabantu ragam menyatakan atau menerangkan ragam perasaan yang berkaitan dengan perbuatan yang dilakukan.
Ia menambah kedalaman makna kepada ayat dan memberi tahu pembaca atau pendengar tentang keupayaan, kewajipan, atau kehendak yang terlibat dalam tindakan tersebut.
Berikut ialah contoh katabantu ragam:
- Hendak: Menunjukkan keinginan, niat, atau hasrat seseorang untuk melakukan sesuatu.
- Mahu: Menunjukkan keinginan/kehendak.
- Harus: Menunjukkan keharusan atau cadangan.
- Mesti: Menunjukkan kewajipan atau keharusan.
- Boleh: Menunjukkan keupayaan atau kebolehan.
- Dapat: Menunjukkan kebolehan yang lebih kepada potensi atau peluang.
- Ingin: Menunjukkan kehendak.
- Sudi: Menunjukkan kesediaan atau kerelaan.
Cara Penggunaan
Katabantu ragam juga diletakkan sebelum kata kerja utama untuk menunjukkan mood atau ragam perbuatan. Contoh:
- Boleh: “Dia boleh menguruskan acara itu sendiri.”
- Mesti: “Anda mesti membaca arahan dengan teliti.”
- Harus: “Kamu harus menjaga kesihatan.”
- Ingin: “Saya ingin membeli buku itu.”
- Sudi: “Mereka sudi membantu kami.”
- Dapat: “Kami dapat melihat burung langka di sini.”
Contoh Ayat Menggunkan Kata Bantu Ragam
1. Hendak
“Dia hendak menyertai pertandingan debat yang akan diadakan bulan depan kerana ingin mengasah kemahiran berbicara dan berhujah di hadapan orang ramai, walaupun dia sedar bahawa persaingan akan menjadi sangat sengit.”
2. Mahu
“Encik Ahmad mahu membuka sebuah kedai buku di kawasan kampungnya kerana beliau percaya bahawa masyarakat di situ perlu didedahkan kepada pelbagai jenis bahan bacaan yang bermutu, terutamanya untuk kanak-kanak dan remaja yang sedang membesar.”
3. Harus
“Kita harus menjaga alam sekitar sebaik-baiknya, termasuk mengurangkan penggunaan plastik, menanam lebih banyak pokok, dan memastikan bahawa sampah dikitar semula dengan betul supaya generasi akan datang dapat menikmati alam semula jadi yang sihat dan bersih.”
4. Mesti
“Semua pelajar mesti menghantar tugasan projek mereka sebelum tarikh akhir yang telah ditetapkan oleh pensyarah, kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan markah mereka ditolak dan menjejaskan keputusan akhir mereka dalam kursus ini.”
5. Boleh
“Dia boleh mencapai kejayaan dalam bidang perniagaan ini jika dia berusaha dengan gigih, sentiasa belajar daripada kesilapan, dan mengambil peluang untuk berkolaborasi dengan usahawan lain yang lebih berpengalaman dalam industri tersebut.”
6. Dapat
“Kami dapat melihat perubahan positif dalam prestasi akademik adik selepas dia mula mengikuti kelas tambahan di pusat tuisyen, di mana guru-guru di sana menggunakan pendekatan yang lebih interaktif dan menyeronokkan untuk membantu pelajar memahami subjek yang sukar.”
7. Ingin
“Saya ingin menghabiskan masa cuti ini dengan melancong ke beberapa buah negara yang kaya dengan budaya dan sejarah, seperti Itali, Jepun, dan Turki, kerana saya percaya bahawa pengalaman ini akan memberikan perspektif baru dan mendalam tentang kehidupan.”
8. Sudi
“Mereka sudi menawarkan bantuan kepada penduduk kampung yang terjejas akibat banjir besar, dengan menyediakan makanan, pakaian, dan tempat perlindungan sementara, walaupun mereka sendiri sedang berdepan dengan kesukaran hidup.”
BACA JUGA: Hebatnya Bangsa melayu Dahulu Setiap Bahagian Rekaan Baju Melayu Punya Maksud Tersendiri
Kata Bantu Aspek dan Ragam dalam Satu Ayat
Kadangkala, kata bantu aspek dan ragam digunakan bersama dalam satu ayat untuk memberikan makna yang lebih terperinci.
Contohnya:
- “Dia akan boleh menyelesaikan tugasan ini selepas mendapat panduan yang jelas.”
- “Kami telah mahu pergi ke sana, tetapi terpaksa menangguhkannya kerana keadaan cuaca yang buruk.”
Dalam contoh di atas, kata bantu aspek (“akan” dan “telah”) digunakan bersama kata bantu ragam (“boleh” dan “mahu”) untuk menjelaskan masa dan keinginan.
Kata Bantu dalam Bentuk Negatif
Kata bantu juga boleh digunakan dalam bentuk negatif untuk menunjukkan sesuatu yang tidak akan, tidak boleh, atau tidak perlu dilakukan.
Dalam bentuk negatif, kata bantu seperti “tidak,” “belum,” “jangan,” dan “tak” digunakan bersama kata bantu lain. Contohnya:
- “Dia tidak akan datang ke majlis itu kerana ada urusan lain.”
- “Kami belum boleh membuat keputusan mengenai projek ini.”
- “Sila jangan hendak membuang sampah merata-rata, kerana ia boleh mencemarkan alam sekitar.”
Kesalahan Umum dalam Penggunaan Kata Bantu
Walaupun katabantu nampak mudah digunakan, namun terdapat beberapa kesalahan umum yang biasa dilakukan dan perlu dielakkan:
1. Penggunaan yang Tidak Sesuai
Menggunakan kata bantu aspek dan ragam dalam konteks yang salah.
- SALAH: “Dia mesti pergi ke sekolah kelmarin.”
- BETUL: “Dia telah pergi ke sekolah kelmarin.”
2. Penggunaan Berlebihan
Menggunakan terlalu banyak kata bantu dalam satu ayat, menyebabkan ayat menjadi berlebihan atau kurang jelas.
- SALAH: “Dia akan boleh pergi jika mesti,”
- BETUL: “Dia akan pergi jika diperlukan.”
3. Mengabaikan Konteks Masa
Tidak menggunakan kata bantu aspek yang betul mengikut konteks masa boleh mengelirukan pembaca atau pendengar.
“Saya makan nasi” tanpa kata bantu tidak jelas masa perbuatan itu. Menambah “sedang” atau “telah” akan memberikan konteks yang lebih jelas.
4. Memendekkan Perkataan
Dalam tulisan, kata bantu AKAN tidak boleh dipendekkan menjadi kan dan ditulis serangkai dengan tak.
- SALAH: Azira yakin bahawa ayah takkan sanggup mengabaikan dia dan ibunya.
- BETUL: Azira yakin bahawa ayah tidak akan sanggup mengabaikan dia dan ibunya.
5. Salah Penggunaan ‘SEDANG’ dan ‘TENGAH’
Kata bantu sedang dan perkataan tengah menerangkan bahawa sesuatu perbuatan itu terus berlangsung dan belum selesai dilakukan. Walaubagaimanapun dalam tulisan, tengah tidak boleh menggantikan penggunaan sedang secara sewenang-wenangnya dalam sesuatu ayat;
- SALAH: Mariam tengah sibuk mengemas biliknya.
- BETUL: Mariam sedang sibuk mengemas biliknya.
6. Penggunaan Dalam Ayat Tanya
Kata bantu hendak tidak boleh digunakan dalam ayat tanya;
- SALAH: “Hendakkah kamu mengikut kami ke tempat perkelahan itu?” tanya Zali
- BETUL: “Mahukah kamu mengikut kami ke tempat perkelahan itu?” tanya Zali
7. Penggunaan Dalam Ayat Nafi
Hanya kata bantu mahu boleh digunakan dalam ayat nafi yang mempunyai perkataan tidak atau belum;
- SALAH: Kalau boleh, Ros tidak hendak melihat mukanya lagi.
- BETUL: Kalau boleh, Ros tidak mahu melihat mukanya lagi.
Kesimpulan
Kata bantu adalah elemen penting dalam bahasa Melayu yang membantu memperjelas makna dan memberikan konteks tambahan kepada ayat.
Dengan memahami jenis-jenis katabantu dan fungsinya, kita dapat menggunakan bahasa dengan lebih berkesan dan tepat.
Penggunaan katabantu yang betul tidak hanya meningkatkan kualiti penulisan tetapi juga membantu dalam komunikasi sehari-hari.
Semoga artikel ini dapat memberikan pemahaman yang lebih baik mengenai katabantu dan bagaimana ia dapat digunakan dengan berkesan dalam penulisan dan komunikasi sehari-hari.
Rujukan:
- DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
- Kata Bantu – scribd Ruzailan Karim
INFO
“Yang langgar elok pula hidup!” – Kamal Adli berang dua beradik lumba kereta mewah, ragut nyawa empat sekeluarga

“Yang langgar elok pula hidup!” – Kamal Adli berang dua beradik lumba kereta mewah, ragut nyawa empat sekeluarga
SIKAP tidak bertanggungjawab segelintir pemandu yang menjadikan jalan raya awam sebagai litar lumba terus mengundang tragedi berdarah apabila empat nyawa sekeluarga yang tidak bersalah melayang dalam sekelip mata.
Insiden menyayat hati yang berlaku di Kilometer 27, Jalan Renggam-Simpang Renggam, Johor itu turut mendapat perhatian pelakon popular, Kamal Adli.
Kamal, 40, meluahkan rasa kesal dan berang dengan tindakan melulu pemandu terbabit yang langsung tidak memikirkan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Kamal Adli Luah Rasa Bengang
Menerusi hantaran di platform Threads, suami kepada aktres Uqasha Senrose ini menyifatkan perbuatan berlumba di jalan raya yang sibuk terutamanya ketika musim orang ramai pulang ke kampung sebagai satu tindakan yang tidak masuk akal.
“Memang bodoh boleh berlumba tengah jalan-jalan sibuk orang balik dari kampung! Sampai orang tak bersalah yang meninggal! Bodoh gila!
“Yang langgar elok pula hidup! Tempatkan mereka bersama orang-orang beriman,” tulisnya penuh emosi.
Dalam pada itu, rata-rata netizen di ruangan komen turut bersetuju dengan kenyataan Kamal dan menzahirkan rasa simpati yang mendalam terhadap nasib malang yang menimpa keluarga berkenaan.
Kronologi Kemalangan Ngeri
Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 1.15 tengah hari Isnin, kemalangan ngeri itu melibatkan lima buah kenderaan iaitu dua buah Mercedes-Benz A250, sebuah BMW 530e, Toyota Vios, Perodua Alza dan Proton Wira.
Siasatan pihak polis mendapati kemalangan berpunca daripada tindakan dua kenderaan mewah yang dipandu secara laju dan melulu.
Akibatnya, kereta BMW berkenaan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh kenderaan yang dinaiki empat sekeluarga tersebut.
Pelumba Rupanya Adik-Beradik
Lebih mengejutkan, pemandu Mercedes-Benz yang terselamat dan pemandu BMW yang maut rupa-rupanya merupakan pasangan adik-beradik.
Pemandu BMW berusia 22 tahun dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah pada bahagian dada. Manakala adiknya yang berusia 19 tahun, pemandu Mercedes-Benz, kini ditahan reman selama dua hari bagi membantu siasatan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tragedi ini turut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang menggesa pihak polis menyegerakan siasatan agar tindakan pendakwaan yang setimpal dapat diambil terhadap pelaku.
Sumber: ohmymedia
INFO
’Satu Keluarga Habis Licin…’ – Angkara Ego Kereta Mewah Berlumba, 4 Beranak Dijemput Ajal Serentak Di Simpang Renggam

‘Satu Keluarga Habis Licin…’ – Angkara Ego Kereta Mewah Berlumba, 4 Beranak Dijemput Ajal Serentak Di Simpang Renggam
SIAPA sangka, perjalanan petang yang disangka tenang bertukar menjadi sebuah tragedi berdarah yang paling menyayat hati. Kegembiraan sebuah keluarga hancur berkecai dalam sekelip mata apabila empat ahli keluarga terkorban serentak dalam satu kemalangan ngeri melibatkan lima buah kenderaan di Kilometer 27, Jalan Renggam-Simpang Renggam.
Lebih memilukan, insiden hitam ini dipercayai berpunca daripada sikap mementingkan diri dan ego pemandu dua buah kenderaan mewah yang memandu secara laju dan melulu di jalan awam.
Detik Cemas Rempuhan Berantai, BMW Meluncur Masuk Laluan Bertentangan
Menurut kenyataan Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.15 tengah hari itu membabitkan sebuah kereta Mercedes-Benz A250 dan sebuah BMW 530e. Kedua-dua kenderaan berkenaan dipercayai dipandu secara berbahaya dari arah Kluang menuju ke Simpang Renggam.
”Pemandu BMW 530e yang dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun itu dipercayai hilang kawalan akibat dipandu terlalu laju sebelum ia meluncur masuk ke laluan bertentangan.
”Kereta terbabit kemudiannya merempuh empat buah kenderaan lain yang sedang bergerak di laluan berkenaan iaitu Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah lagi Mercedes-Benz,” katanya.
Akibat impak rempuhan yang tersangat kuat, kereta BMW tersebut dilaporkan tercampak lalu terjatuh ke dalam gaung di seberang jalan.
Empat Beranak Dalam Toyota Vios Maut Di Tempat Kejadian
Sesiapa sahaja yang melihat foto kejadian pasti akan menitiskan air mata. Rempuhan itu telah mengorbankan pemandu Toyota Vios, seorang lelaki berusia 36 tahun, isterinya (33 tahun), seorang warga emas (73 tahun) dan seorang kanak-kanak perempuan sekecil 10 tahun. Dipercayai, kesemua mereka adalah ahli keluarga terdekat.
Kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan. Sementara itu, pemandu BMW berusia 22 tahun pula disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Tragedi ini turut menyebabkan dua lagi kanak-kanak berusia 11 dan tujuh tahun yang menaiki Perodua Alza mengalami kecederaan parah di kepala dan kini sedang bertarung nyawa di Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang. Beberapa pemandu lain turut mengalami kecederaan di kaki, muka, dan dada.
Remaja 19 Tahun Ditahan Polis, Netizen Mula Berang
Susulan kejadian tersebut, pihak polis telah menahan pemandu Mercedes-Benz A250 yang baru berusia 19 tahun bagi membantu siasatan. Kenderaannya turut dirampas, bagaimanapun ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Berita ini ternyata mengundang kemarahan netizen di media sosial. Rata-rata mengecam tindakan pemandu-pemandu tersebut yang menjadikan jalan raya awam sebagai litar lumba peribadi sehingga mengorbankan nyawa orang lain yang tidak bersalah.
“Moga Ada Syurga Buat Kalian…” – Netizen Banjiri Ruangan Komen Dengan Doa
Menjengah ke ruangan komen di platform media sosial, suasana pilu menyelubungi netizen apabila memikirkan nasib waris yang ditinggalkan. Bayangkan, dalam satu tengah hari, terus hilang empat ahli keluarga sekaligus.
“Ya Allah, luluh hati saya membaca berita ni. Hilang satu keluarga sekaligus. Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tulis seorang netizen.
“Tolonglah haramkan pemandu-pemandu melulu macam ni daripada guna jalan raya. Kerana ego nak tunjuk hebat, anak orang lain jadi yatim piatu, keluarga orang lain hancur!” komen seorang lagi dengan nada kesal.
Pihak polis turut menasihati semua pengguna jalan raya agar sentiasa bertimbang rasa dan berhati-hati ketika memandu. Ingatlah, keluarga kita da
n keluarga orang lain sedang menunggu di rumah.
Mari kita sama-sama sedekahkan Al-Fatihah buat para mangsa yang terkorban dan doakan kesembuhan buat anak-anak kecil yang masih kritikal di hospital.
Sumber: borakdaily
INFO
‘Tolong Kuat Ibu, Kami Tunggu Di Rumah’ – Warkah Rindu Anak Pendaki Wanita Hilang Di Gunung Batu Putih Sentuh Hati Netizen

‘Tolong Kuat Ibu, Kami Tunggu Di Rumah’ – Warkah Rindu Anak Pendaki Wanita Hilang Di Gunung Batu Putih Sentuh Hati Netizen
Anak Pendaki Wanita Hilang
SEJAK dilaporkan hilang pada 24 Mei lalu di Gunung Batu Putih, Tapah, Perak, misi pencarian pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, masih menjadi tumpuan utama seluruh rakyat Malaysia.
Terbaharu, tular di media sosial satu luahan hati yang amat menyayat hati daripada anak mangsa yang setia menanti kepulangan ibunya di rumah.
Warkah ringkas namun penuh emosi itu dikongsikan semula oleh pengguna akaun TikTok @darwisyahfaizal, sekali gus mengundang simpati dan air mata dalam kalangan netizen.
Anak Pendaki Wanita Hilang
“Ibu Insan Paling Kuat Saya Kenal”
Menerusi hantaran tersebut, si anak menyatakan keredaan dan ketabahannya dalam mendepani ujian yang amat berat ini, biarpun mengakui ada ketikanya dia berasa sangat tidak berdaya.
“Hai Ibu, saya tahu ibu kuat. Malah, ibu adalah antara insan paling kuat yang saya kenal. Saya tak dapat membayangkan apa yang sedang ibu lalui sekarang, tapi saya sentiasa berdoa agar Allah memberikan ibu kekuatan, ketenangan dan perlindungan untuk terus bertahan,” tulisnya.
Lebih meruntun jiwa, anak mangsa turut menitipkan kata-kata semangat agar ibunya tidak berputus asa di dalam hutan belantara berkenaan.
Dia juga memegang erat pesanan ibunya yang sering mengingatkan tentang kebaikan pencipta dalam apa jua keadaan sekalipun.
“Kami semua sedang menanti kepulangan ibu. Ada masanya saya berasa sangat tak berdaya, tapi saya cuba ingat kata-kata ibu: ‘Allah Maha Baik’. Ibu tak keseorangan. Allah sentiasa bersama ibu, dan kami juga sentiasa bersama ibu dari sini. Kami sayang ibu sangat-sangat,” luahnya lagi.
Anak Pendaki Wanita Hilang
Netizen Banjiri Ruangan Komen Dengan Doa
Menjenguk ke ruangan komen, rata-rata warga maya tidak dapat menahan sebak malah turut menumpahkan air mata membaca titipan rindu seorang anak kepada ibunya itu.
Ramai yang memberikan kata-kata semangat kepada keluarga mangsa agar terus cekal sementara menanti perkhabaran gembira daripada pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
“Allahuakbar, luruh jantung baca luahan anak dia. Semoga ada keajaiban buat Puan Jaslinda. Ya Allah, pulangkanlah ibu ini ke pangkuan anak-anaknya dalam keadaan selamat,” komen seorang netizen.
“Tak dapat bayangkan perasaan anak dia sekarang. Semoga pasukan SAR dipermudahkan urusan dan diberikan petunjuk segera,” tambah seorang lagi pengguna TikTok.
Untuk rekod, operasi SAR bagi mengesan Jaslinda Saludin yang hilang di kawasan pergunungan tersebut masih giat dijalankan oleh pihak berkuasa dengan bantuan pelbagai agensi dan malim gunung.
Sama-sama kita doakan agar Puan Jaslinda segera ditemui dengan selamat.
Sumber: borakdaily
Keluarga7 years agoSering kali Anak Sulung Selalu Kena Marah Tapi Sebenarnya Paling Istimewa Di Hati Ibu Ayah
Resepi Viral6 years ago10 Resepi Ayam Berkuah Hidangan Menarik Ditengah hari
AGAMA7 years agoSatu kuku panjang ibarat bela sekandang b4bi? Inilah dosa bela kuku panjang
AGAMA7 years agoSatu-satunya manusia yang bukan nabi, bukan pula Rasul, tapi kisah hidupnya diabadikan dalam Qur’an
AGAMA6 years agoCara Meruqyah Anak Yang Malas Untuk Belajar
AGAMA6 years agoCara Senang Hafal Surah Al- Khafi Ayat 1 Hingga 10.
AGAMA6 years agoNafkah untuk isteri tak termasuk keperluan barang dapur, Para suami kena ingat dan Wajib tahu.
AGAMA7 years ago5 doa yang buat rezeki anda datang dari arah tak disangka, lancar dan berkah





