Baru-baru ini sindiket pemerdagangan manusia di Kemboja dipercayai telah mengubah modus operandi untuk memperdayakan mangsa selepas pendedahan yang meluas oleh media massa.Pengerusi Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, sindiket pemerdagangan manusia kini menggunakan taktik ‘love scam’ untuk memperdayakan mangsa pergi ke negara tersebut.

“Sebelum ini, mangsa terpedaya dengan tawaran pekerjaan tidak wujud oleh sindiket pemerdagangan manusia.

Sindiket Pemerdagangan Manusia Ubah Taktik

“Sindiket itu kini telah mengubah taktik dengan menyamar sebagai wanita cantik di laman sosial untuk menjalinkan hubungan dengan mangsa, sebelum meminta mereka pergi ke negara berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini pada Khamis.

Chong berkata, taktik lain yang digunakan sindiket itu adalah menawarkan mangsa untuk terlibat dalam pertandingan atau bekerja dalam bidang fotografi.

“Setibanya mangsa di negara tersebut, mereka akan dipaksa bekerja dengan sindiket penipuan,” katanya.

Beliau berkata, sindiket berkenaan terpaksa menukar modus operandi kerana pihak berkuasa negara tersebut mengambil tindakan tegas, susulan pendedahan media berkaitan sindiket pemerdagangan manusia.

“Saya berharap orang ramai berhati-hati dengan taktik baharu sindiket itu,” katanya.

Chong berkata, seramai 24 rakyat Malaysia yang disyaki menjadi mangsa sindiket berkenaan dijangka pulang dari Kemboja pada Jumaat.

“Mereka telah diselamatkan oleh Jabatan Imigresen Kemboja dan mangsa telah ditempatkan di depoh Imigresen negara berkenaan, sebelum dihantar pulang,” katanya.

Sementara itu, seorang mangsa yang dikenali sebagai Terrance, 39, berkata, dia pulang ke Malaysia pada dua minggu lalu selepas hampir tujuh bulan berada di Kemboja.

“Saya pergi ke Kemboja pada 9 Januari lalu dan terpaksa bekerja dengan sindiket penipuan selama tiga bulan, sebelum diselamatkan oleh pihak Imigresen Kemboja,” katanya.

Terence berkata, pengalaman itu ibarat mimpi ngeri kerana dia pernah dikasari oleh sindiket berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada pihak berkuasa dan agensi lain dalam membantu saya dan mangsa lain untuk dibawa pulang ke tanah air,” katanya.

Sumber:Sinar Harian