Connect with us

AGAMA

Trend Jual Beli Cedok Live Di Tik Tok & Shopee Makin Menjadi Ketagihan Ramai, Tetapi Adakah Muamalah Itu Sah & Apa Hukumnya Dalam Islam

Avatar of hannani juhari

Published

on

jual beli cedok live

Trend Jual Beli Cedok Live Di Tik Tok & Shopee Makin Menjadi Ketagihan Ramai, Tetapi Adakah Muamalah Itu Sah & Apa Hukumnya Dalam Islam

Zaman ini kaedah menjual barang memang mudah kerana kita sendiri boleh pilih barang dari aplikasi shopping online seperti Shopee, Lazada, Zalora, Lelong, Mudah, dan sebagainya. Sekarang ada juga penjual yang mempromosikan barang di media sosial dan terbaru trend jual beli cedok live di Tik Tok, Shopee, Facebook dan juga Instagram. Namun apakah hukumnya dan sejauh mana ia sah menurut muamalah dalam agama Islam. Ikuti perkongsian ini sehingga ke penghujung.

Bagaimana jual beli cedok live dijalankan?

jual beli cedok live

Konsep jual beli cedok live yang viral hari ini semakin hangat mempengaruhi orang ramai. Ianya dijalankan bermula dengan para peniaga mempromosikan barang-barang yang mahu dijual kepada pengikutnya atau individu yang masuk ke video live mereka. Peniaga akan mencedok pelbagai jenis barangan seperti alat solek, gula-gula, aksesori dan sebagainya yang diletakkan di dalam bekas besar dengan menggunakan sama ada senduk, bakul, penapis makanan atau pun mangkuk.

Kemudian, penjual akan meletakkan harga secedok berapa. Misalnya secedok gula-gula sebanyak RM5, lalu ketika jualan nanti pembeli akan beritahu berapa cedok yang dia mahu. Penjual akan mencedok barangan tersebut ke dalam bekas secara live di hadapan mereka. Namun, pembeli tidak tahu jumlah dan jenis barang yang diperoleh.

Hukum jual beli cedok live

Menerusi perkongsian Pensyarah Kanan, Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, Dr. Ahmad Che Abdullah melalui muamalat.my, mengatakan bahawa jual beli cedok live mempunyai kaedah cara jualan yang sama seperti konsep gharar yan diharamkan oleh Nabi SAW. Maksud gharar adalah jual beli di mana pembeli tidak dapat pastikan barangan yang akan diperolehi (mastur al-aqibah). Bahkan bentuk dan struktur jual beli tersebut sudah dicipta untuk mewujudkan unsur ketidakpastian.

Tambahnya, Rasulullah SAW telah melarang jual beli al-mulamasah dan al-munabadhah (Sahih Bukhari dan Muslim). Menurut Imam Nawawi, al-mulamasah adalah bentuk jual beli barangan seperti baju yang disentuh oleh pembeli dalam gelap tanpa melihat, dan dikira jual.

jual beli cedok live

Mulamasah juga jual beli yang berlaku ke atas mana-mana barangan, tanpa melihat secara terperinci, dikira jual dan tidak boleh lagi ada pilihan. Cedok-cedok adalah sama dengan jual beli mulamasah. Ini kerana apa yang akan diperoleh oleh pembeli belum pasti dan tiada sebarang aras minimum barangan yang boleh dipastikan untuk diperolehi.

Dalam kata lain dari pendapat Ibn Hajar Al-Asqalani, bentuk jual beli ini berlaku pada zaman jahiliah dulu. Bahkan Imam Nawawi turut menyifatkan ia sebagai batil, tidak sah kerana mengandungi unsur gharar.

Dalam isu yang sama ditegaskan oleh Pencetus Ummah Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim (PU Amin) bahawa tidak salah membuat urusan jual beli tetapi perlu menjaga kepada hukum halal dan haramnya. Dan amalan jual beli cedok ini juga amat dekat dengan mulamasah serta mempunyai ciri-ciri gharar, ketidakpastian, unsur cipta, dan penganiayaan.

Jaga keberkatakan dalam jual beli “online”

jual beli cedok live

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah, ayat 275 yang bermaksud:

“Yang demikian ialah disebabkan mereka mengatakan: “Bahawa sesungguhnya berniaga itu sama sahaja seperti riba”. Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

Dalam kitab “Hikmah al-Tasyri’ Wa Falsafatuh”, Syeikh Ali Ahmad al-Jarjawi ada menyebut yang aktiviti jual beli ini termasuk dalam ibadah dan fardhu kifayah bila mana ia mempunyai:

  • Niat yang benar mencari harta yang halal.
  • Mendapatkan nafkah bagi menyempurnakan kewajipan kehidupan.
  • Urusniaga yang dijalankan adalah yang mematuhi syariah.
  • Memenuhi keperluan dan permintaan pengguna.
  • Menjadikan ummah berdiri sendiri tanpa bergantung pada pihak selain Islam.

Selain itu, dalam berniaga dan membeli kedua-duanya iaitu penjual dan pembeli perlu bersifat jujur dan elakkan dari berlaku penipuan. Kita perlu jelas bahawa berniaga bukanlah sekadar urusan di dunia sahaja untuk mendapat kepuasan dalam mencari harta.

Tetapi hakikatnya dalam mencari harta dan apa jua perbuatan kita di dunia ini akan dikira, dihisab, dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Sesungguhnya mereka yang jujur akan mendapat kebaikan di sisi Allah seperti mana Abu Said al-Khudri meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Peniaga yang jujur lagi amanah akan ditempatkan bersama para Nabi, kalangan Siddiqin dan Syuhada.” – (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)

Begitu juga dengan mereka yang melakukan penipuan dengan sengaja untuk mencari keuntungan dunia akan mendapat seksaan dari Allah SWT.

“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan), iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.” – (Surah Al-Mutaffifin, ayat 1-3)

Sumber: muamalat.my

Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

2024 Majalah Ilmu © Hak Cipta Terpelihara.