Kisah
“Jangan-Jangan Tahun Ni Raya Terakhir Dengan Mak…”, Anak Yang Terpilih Jaga Mak Terlantar Sakit Diuji Kesabaran Hingga Hujung Nyawa

“Jangan-Jangan Tahun Ni Raya Terakhir Dengan Mak…”, Anak Yang Terpilih Jaga Mak Terlantar Sakit Diuji Kesabaran Hingga Hujung Nyawa
Seorang mak boleh menjaga sepuluh orang anak, tetapi sepuluh orang anak belum tentu boleh menjaga mak hingga hujung nyawanya. Kata-kata ini sering kita dengar dari mulut ke mulut apabila berbicara soal kasih sayang dan ketulusan hati seorang mak dalam membesarkan anak-anaknya. Namun anak yang dipilih oleh Allah akan mengalas tanggungjawab jaga mak terlantar sakit dengan melalui ujian dan rintangan yang sangat menguji kesabarannya.
Anak terpilih jaga mak terlantar sakit, Allah tunjuk semua kesalahan depan mata
Kisah ini dikongsikan oleh Nuhas (bukan nama sebenar). Baginya, dia bukanlah anak yang baik dan solehah sepanjang masa. Ada masa dan ketikanya dia juga sama seperti manusia-manusia lain yang berbuat dosa dan kesalahan selama hidup. Walaupun barangkali mungkin kisah ini seperti membuka aib dirinya sendiri tetapi beberapa keburukan yang dikongsi ini semoga menjadi iktibar bersama khususnya bagi anak yang sedang jaga mak terlantar sakit.
Beruntungnya anak yang tidak pernah melukakan hati seorang mak tetapi tidak baginya. Dia tidak terkecuali melukakan hati insan istimewa itu walaupun maknya tidak pernah buat salah kepadanya. Hanya sahaja dia yang tidak memahami perasaan orang yang sudah berusia.
Di akhir-akhir hayat Mak, Allah pilih dirinya agar tidak menjadi anak derhaka dan mengalas tanggungjawab jaga mak terlantar sakit. Setahun dua sebelum mak meninggal, Nuhas perasan perubahan pada dirinya.
Dulu masa zaman sekolah, maknya pernah terasa hati dengannya sehingga mereka tidak bertegur sehingga dia lari membawa diri ke perpustakaan. Masa dalam perjalanan pulang, tiba-tiba hujan dengan guruh berdentum. Rasa takut menyelubungi diri kerana takut disambar petir mengenangkan kisah anak derhaka. Sempat dia berdoa jika diberi peluang untuk tebus dosa, dia akan jaga mak sampai tua.
Pernah juga dia mengemas bilik mak dan buang barang yang tidak berguna dan berhabuk. Bila mak dapat tahu, mak marah sungguh. Selepas itu memang dia tidak mahu usik apa-apa lagi takut-takut jatuh derhaka. Bila bekerja di negeri lain, tiap kali balik kampung dia akan pastikan dapat tidur selepas subuh kerana terlalu penat bekerja dan kurang tidur di perantauan.
Mak tak berhenti panggil banyak kali, anak malas nak layan sebab penat
Suatu hari selepas subuh, dia terdengar panggilan mak sayup-sayup di telinga tetapi dia ambil keputusan untuk buat tidak tahu sahaja. Rasa mengantuk sangat sebab keletihan memandu perjalanan yang jauh. Tetapi dalam hati juga terasa pelik kerana mak tidak berhenti memanggil.
Nuhas mula rasa tak sedap hati kemudian membuka pintu bilik dan mulalah kedengaran suara mak dari biliknya. Memang terkejut bila lihat mak sudah terduduk di atas lantai dan menangis. Kata mak, dia tiba-tiba hilang keseimbangan dan pandangan berpinar menyebabkan dia tidak boleh bangun untuk ke tandas.
Mulai hati itu, dia minta maknya untuk tidur di ruang tamu supaya senang untuk mak bergerak dan panggil nanti. Dibiarkan pintu biliknya terbuka semasa tidur supaya jelas suara mak nanti apabila memanggil. Jujur, dia sangat takut jika maknya meninggal dalam keadaan tidak redha kepadanya.
Mak kena hipoglisemia tak sedarkan diri
Pernah ditengah-tengah malam, dia terbangun dari tidur setelah mendengar bunyi seperti lantai ditepuk “tap…tap…tap”. Dengan segera dia bangun untuk lihat keadaan mak. Rupa-rupanya mak terkena hipoglisemia (paras gula dalam darah rendah).
Dia pun cepat-cepat membancuh air milo bubuh gula dan menyuakan straw ke mulut mak. Mak tidak sedarkan diri tetapi dia minum. Dalam setengah jam baru mak mulai sedar lalu terpinga-pinga melihat anaknya itu duduk di sebelah.
Setiap kali mak terkena hypo memang dia tidak akan ingat apa-apa yang berlaku, tidak sedarkan diri, bahkan pernah meracau, mengumam, berguling, dan terkencing di atas lantai. Sebagai anak, basuh sahajalah. Memang ujian sabar itu akan berlipat kali ganda apabila jaga mak terlantar sakit.
Dia mencuci najis maknya apabila terberak di kain. Pernah juga dia basuh 10 kain yang terkena najis dalam satu-satu masa. Ikutkan hati siapa yang tidak geli dengan najis tetapi entahlah mungkin ini maknya sendiri jadi rasa itu tidak menebal. Harap-harap Allah terima amalan tersebut.
Deria pendengaran mak semakin lemah
Mak pernah cakap dengannya kenapa lama tidak menelefon. Dia sendiri menjadi pelik kerana berbelas kali telefon mak tetapi tidak berangkat sehingga dia berasa sangat marah ketika itu. Allah Maha Berkuasa, Dia tunjukkan kesalahan hamba Nya di depan mata. Sedang Nuhas masak di dapur, dia cuba panggil maknya tetapi tidak disahut walaupun jarak hanya 3 meter. Bila suara dikuatkan pun masih tidak dengar. Bila dia datang dekat dengan maknya baru perasan.
Mak cakap tidak dengar anaknya itu panggil. Memang pelik. Tetapi lama kelamaan baru dia faham rupanya-rupanya kesan sampingan pengambilan ubat-ubatan yang mak ambil menyebabkan deria pendengarannya semakin lemah.
“Jangan-jangan umur mak dah tak lama..”
Masa terus berlalu tanpa terasa semakin dekatnya waktu berpisah dan semakin pendeknya waktu bersama.
“Jangan-jangan umur mak dah tak lama..,” spontan hatinya berbisik.
Tahun terakhir raya bersama mak, dia tenung muka insan yang melahirkannya itu dalam-dalam lalu terlintas di fikiran, “Jangan-jangan tahun ni raya terakhir dengan mak.”
Bisikan hati selama ini rupa-rupanya betul. Mujur sebagai anak dia sempat berubah sikap dan berbakti kepada maknya. Petanda keuzuruan mak semakin jelas apabila kesihatanya semakin merosot.
Bila mak panggil, dia cepat-cepat menyahut. Bila mak suruh, dia cepat-cepat buat. Masakkan menu kegemarannya. Jaga nada suara supaya tidak kasar. Sentiasa buat mak gembira. Bawa mak jalan-jalan. Jangan buat mak tersinggung sebab bimbang itulah hari terakhir dia bersama.
Mak ditahan di hospital, keadaan kritikal
Pertama kali dalam hidup mak, mak minta untuk pergi hospital. Panggil anak sedara sebelah rumah bersiap-siap untuk temannya ke hospital. Dia menyuruh maknya mandi dahulu kerana khuatir sekiranya mak terpaksa di tahan di wad.
Tiba-tiba mak bersuara,”Mu tolong mandikan mak lah. Mok tak cekak.” Nuhas tersentak kerana tidak pernah seumur hidup maknya suruh untuk dimandikan.
Hati sudah berkecamuk, mula fikir yang bukan-bukan. Sambil jirus air dan gosok badan mak dengan sabun, dia terfikir jangan-jangan ini kali pertama dan terakhir permintaan mak. Mujur tidak tumpah air mata.
Dalam perjalanan, dia telefon kakanya suruh buat Guarantee Letter (GL) kalau-kalau mak masuk ward, bagitahu hendak pergi hospital.
Pendekkan cerita, doktor pun pelik lepas dengar cerita mak sebab mak tidak tunjuk tanda-tanda sakit sebelum ini kecuali masa Nuhas kursus. Kaki mak bengkak dan tidak boleh jalan. Mak sakit buah pinggang tahap empat dan banyak air dalam badan.
Mata Nuhas sudah bergenang. Sempat tengok mak sepintas lalu dekat katil dengan muka cuak tetapi dia tidak mampu untuk datang dekat sebab air mata sudah pun berembes keluar. Doktor bius panggil masuk terangkan pasal mak tidak boleh bernafas sendiri.
Tanda-tanda sebelum mak meninggal
Minggu pertama mak di hospital: Hidungnya masih kembang tinggi.
Minggu kedua: Tiba-tiba pagi itu, hidung mak melorot jatuh. Jari kaki mak lurus ke depan macam kena tarik, cuping telinga melekap ke belakang.
Sehari sebelum meninggal: Tiba-tiba mak macam sihat. Baca gerak bibir, mak cakap nak balik.
Mak meninggal hari Jumaat tepat azan Zuhur berkumandang selepas 2 minggu sakit tenat di wad hospital Temenggung HRPPZ2. Jenazahnya dimandikan di hospital dan dibawa ke kampung untuk dimakamkan.
Jaga pesanan mak sebelum meninggal
Mak berwasiat suruh jaga hubungan adik beradik dan sedara mara. Jangan bergaduh, dan kena selalu berziarah. Selepas mak meninggal, Nuhas duduk di kampung asal mak dan dekat dengan pusara mak dan ayahnya. Senang nak ziarah kubur mak selepas ini, sebab mak pesan,
“Selagi mu tak kahwin, kena balik ziarah kubur mak selalu. Sama macam mak hidup, mak nak tengok anak mak datang jumpa mak.”
Dia memang betul-betul jaga amanah maknya itu. Menurutnya setiap orang tidak tahu bagaimana pengakhiran hidup nanti. Cuma persiapan untuk mati sejak dari zaman sekolah, dia mengamalkan baca surah Al-Mulk setiap malam. Segala hutang piutang sudah dijelaskan termasuk PTPTN, personal loan dan kereta. KWSP dan bank pun sudah diletakkan penama kepada kakaknya untuk diuruskan setelah dia meninggal nanti.
Segala dokumen penting sudah diletakkan dalam fail khas untuk memudahkan urusan waris. Zakat dan puasa ganti sudah dilunaskan awal lagi.
Allah bagi Nuhas kesempatan untuk berbakti kepada maknya sehingga ke hujung nyawa. Semoga kita sebagai anak berpeluang diberikan rezeki sedemikian juga kerana sesungguhnya daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ. قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” – (Hadis Riwayat Muslim)
Sumber: Hai.mehbaca
- Resepi Viral4 years ago
10 Resepi Ayam Berkuah Hidangan Menarik Ditengah hari
- Keluarga4 years ago
Sering kali Anak Sulung Selalu Kena Marah Tapi Sebenarnya Paling Istimewa Di Hati Ibu Ayah
- AGAMA4 years ago
Satu-satunya manusia yang bukan nabi, bukan pula Rasul, tapi kisah hidupnya diabadikan dalam Qur’an
- AGAMA4 years ago
Satu kuku panjang ibarat bela sekandang b4bi? Inilah dosa bela kuku panjang
- AGAMA4 years ago
Cara Senang Hafal Surah Al- Khafi Ayat 1 Hingga 10.
- AGAMA4 years ago
Cara Meruqyah Anak Yang Malas Untuk Belajar
- AGAMA4 years ago
5 doa yang buat rezeki anda datang dari arah tak disangka, lancar dan berkah
- AGAMA4 years ago
Nafkah untuk isteri tak termasuk keperluan barang dapur, Para suami kena ingat dan Wajib tahu.