AGAMA
Duit Raya : Dianggap Sebagai Budaya Kaum Lain, Mufti Jelaskan Hukum Beri Duit Raya Di Pagi Syawal
Duit Raya : Dianggap Sebagai Budaya Kaum Lain, Mufti Jelaskan Hukum Beri Duit Raya Di Pagi Syawal
Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut hari raya Aidilfitri. Perayaan yang dinanti-nanti oleh seluruh Muslim setelah menyempurnakan ibadah berpuasa. Aidilfitri di Malaysia sememangnya disambut dengan meriah sekali dan persiapan menjelang hari kemenangan ini pada kebiasaannya akan dibuat lebih awal.
Keterujaan dapat dirasai terutamanya apabila melihat bazar, kedai serta pasaraya membuat promosi besar-besaran untuk pakaian dan barangan keperluan perayaan. Malah, corong radio mahupun media sosial kini di penuhi dengan iklan dan lagu-lagu raya yang membuatkan kita tak sabar untuk ‘menemui’ 1 Syawal.
Sebagai masyarakat yang kaya dengan budaya, sudah menjadi kelaziman untuk menziarahi semasa keluarga mahupun sabahat- handai di pagi Aidilfitri. Setelah menunaikan solat sunat hari raya, kebanyakan keluarga akan menziarahi pusara dan bermaaf-maafan sesama mereka.
Paling seronok adalah kanak-kanak kerana selalunya mereka akan diberikan duit raya yang diisikan dalam sampul berwarna-warni.
Namun, persoalan mula timbul mengenai hukum pemberian duit raya yang dikaitan dengan unsur tasyabbuh. Oleh itu, untuk merungkaikan segala jawapan, Mufti Wilayah Persekutuan telah menulis dalam Al-Kafi #637 mengenai perkara ini.
Soalan :
Saya ingin bertanya berkenaan hukum memberi duit raya, adakah terdapat unsur (mengikuti budaya bukan Islam) dengan budaya memberi ang pow di sisi masyarakat lain?
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, serta golongan yang menyusuri jejak langkah baginda hingga hari kiamat.
Tidak dinafikan bahawa Hari Raya mempunyai rohnya yang tersendiri bagi masyarakat beragama Islam. Di antara roh paling utama bagi perayaan ini adalah menzahirkan kegembiraan dan kesyukuran. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani Rahimahullah (Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar (2/514) :
“Menzahirkan perasaan bergembira pada hari-hari perayaan adalah di antara syiar Islam”.
Budaya Memberi Duit Raya
Kami berpandangan, konsep memberi duit raya kepada ibubapa, kaum kerabat, serta kanak-kanak pada 1 Syawal adalah menepati perbuatan sedekah di dalam Islam. Bahkan perbuatan sedekah kepada ibubapa termasuk di antara ibadah yang sangat menguntungkan kerana ia menghasilkan tiga bentuk pahala amalan soleh iaitu birrul walidain (berbuat baik kepada dua ibubapa), mengeratkan silaturahim, serta pahala bersedekah itu sendiri.
Demikianlah juga jika ia diberikan kepada kaum kerabat, sanak saudara dan umpamanya. Ia turut mendapat dua pahala iaitu pahala bersedekah dan juga pahala menghubungkan silaturahim. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Sa’d bin Abi Waqqas R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda dalam Riwayat Al-Bukhari (56):
Maksudnya :
“Sesungguhnya kamu tidaklah membelanjakan nafkah yang kamu harapkan redha Allah dengannya (nafkah tersebut) melainkan kamu akan diberikan ganjaran ke atasnya, sekalipun jua nafkah yang kamu jadikannya di dalam mulut isteri kamu.”
Isu Tasyabbuh
Berkaitan dengan isu tasyabbuh (penyerupaan) di antara duit raya dengan ang pow yang diberikan semasa perayaan kaum Cina, kami melihat bahawa tidak terdapat sebarang unsur tasyabbuh di antara keduanya. Ini kerana pemberian duit raya ada asasnya di sisi Islam iaitu termasuk dalam kategori sedekah yang sunat hukumnya. Justeru, tidak timbul isu tasyabbuh di sini. Adapun berkenaan penggunaan sampul raya, maka ia kembali kepada hukum asal sesuatu sebagaimana yang dinyatakan dalam kaedah fekah ;
Maksudnya:
“Hukum asal bagi setiap sesuatu (yang bukan ibadah) adalah harus.”
Kesimpulan
Setelah kami mengemukakan beberapa nas dan hujahan berkaitan isu ini, maka kami menyatakan bahawa pemberian duit raya kepada kaum keluarga, serta jiran tetangga yang hadir berkunjung ke rumah pada 1 Syawal adalah HARUS hukumnya.
Ini bertepatan dengan usaha menzahirkan syiar Islam menerusi kegembiraan memberi dan menerima sedekah, mengeratkan silaturahim, serta budaya kunjung mengunjung.
Begitu juga kami cadangkan beberapa dhawabit seperti berikut:
- Pemberian duit raya yang diberikan tidaklah dilakukan secara takalluf (memaksa diri) untuk memberi dengan jumlah yang besar.
- Golongan yang menerimanya perlulah bersyukur dengan kadar yang diterima dan tidak diungkit-ungkit.
- Sebaliknya bersyukur dan mendoakan kebaikan untuk pemberi.
- Hendaklah diutamakan pemberian kepada golongan fakir, miskin, dan mereka yang memerlukan. Ini kerana, asnaf untuk sedekah yang wajib iaitu zakat, adalah merupakan asnaf yang sama untuk kita beri keutamaan semasa memberikan sedekah sunat.
Akhir kalam, semoga penulisan ini memberikan pencerahan secukupnya kepada sesiapa yang membacanya. Ameen.
Sumber : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih
Selamat Beramal.
Jangan Lupa Juga Untuk Follow Kami di Majalah Ilmu
- Resepi Viral5 years ago
10 Resepi Ayam Berkuah Hidangan Menarik Ditengah hari
- Keluarga5 years ago
Sering kali Anak Sulung Selalu Kena Marah Tapi Sebenarnya Paling Istimewa Di Hati Ibu Ayah
- AGAMA5 years ago
Cara Senang Hafal Surah Al- Khafi Ayat 1 Hingga 10.
- AGAMA5 years ago
Satu-satunya manusia yang bukan nabi, bukan pula Rasul, tapi kisah hidupnya diabadikan dalam Qur’an
- AGAMA5 years ago
Satu kuku panjang ibarat bela sekandang b4bi? Inilah dosa bela kuku panjang
- AGAMA5 years ago
Cara Meruqyah Anak Yang Malas Untuk Belajar
- AGAMA5 years ago
5 doa yang buat rezeki anda datang dari arah tak disangka, lancar dan berkah
- AGAMA5 years ago
Nafkah untuk isteri tak termasuk keperluan barang dapur, Para suami kena ingat dan Wajib tahu.