AGAMA
Akan datang pada akhir zaman para pemimpin yang zalim, menteri-menteri yang fasik, para hakim yang melakukan pengkhianatan dan para fuqaha yang berbohong
Akan datang pada akhir zaman para pemimpin yang zalim, menteri-menteri yang fasik, para hakim yang melakukan pengkhianatan dan para fuqaha yang berbohong
Soalan :
Assalamualaikum ustaz. Saya ada persoalan. Saya ada dapat satu poster tentang satu hadis. Hadis tersebut berbunyi : “Kelak akhir zaman akan datang pemimpin-pemimpin yang aniaya, menteri-menteri yang fasik, hakim-hakim yang curang dan ulama-ulama yang pendusta. Barang siapa antara kamu yang sempat menemui zaman ini, hendaklah dia tidak menjadi pegawai pajak mereka, kakitangan kerajaan dan penguasa untuk membantu keburukan yang mereka lakukan kerana segala perbuatan mereka akan membawa mereka ke jalan neraka.” Adakah hadis ini wujud? Mohon pencerahan ustaz.
Ringkasan jawapan :
Hadis tersebut diriwayatkan oleh al-Tabarani (m.360 H) dalam al-Mu’jam al-Saghir dan al-Mu’jam al-Awsat. Ia juga turut diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi (m.463) dalam Tarikh Baghdad. Matan hadis ini berakhir pada lafaz ‘sesiapa yang sempat hidup di zaman mereka, jangan dia menjadi wakil, pengutip cukai, orang yang menjaga perbendaharaan dan juga penguasa bagi pihak mereka’. Tiada tambahan selepas itu dalam mana-mana riwayat. Dalam riwayat Al-Tabarani pula, matan hadis terhenti pada ‘sesiapa yang sempat berada di zaman tersebut, jangan kalian memberikan pengutip cukai, penyelia dan penguasa bagi pihak mereka’. Justeru, lafaz ‘kerana segala perbuatan mereka akan membawa mereka ke jalan neraka’ yang dinukilkan itu adalah lafaz tambahan yang tiada asal dalam mana-mana riwayat.
Dari sudut sanad, berlaku tafarrud (bersendirian dalam periwayatan tanpa ada sokongan riwayat) pada sanad. Ianya disebabkan sanad hadis ini tertumpu pada seorang perawi yang bernama Daud Bin Sulaiman al-Khurasani. Beliau adalah seorang perawi yang lemah. Begitu juga terdapat perawi yang bernama Mu’awiyah bin al-Haitham. Beliau adalah seorang perawi yang majhul (tidak dikenali status dan peribadinya). Ringkasnya, hadis tersebut adalah hadis yang lemah. Semoga Allah memberi rahmat kepada kita semua.
Huraian jawapan :
Antara akhlak seorang muslim adalah memastikan kebenaran setiap berita atau maklumat yang sampai kepadanya. Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT :
يا أيها الذين آمنوا إن جاءكم فاسق بنبإ فتبينوا أن تصيبوا قوما بجهالة فتصبحوا على ما فعلتم نادمين
Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.”[1]
Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, hadis tersebut diriwayatkan oleh al-Tabarani (m.360 H) dalam kitab al-Mu’jam al-Saghir[2]. Beliau menukilkan hadis tersebut seperti berikut :
حدثنا علي بن محمد الثقفي البغدادي حدثنا معاوية بن الهيثم بن الريان الخراساني حدثنا داود بن سليمان الخراساني حدثنا عبد الله بن المبارك عن سعيد بن أبي عروبة عن قتادة عن سعيد بن المسيب عن أبي هريرة رضي الله عنهما قال: قال رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم : يكون في آخر الزمان أمراء ظلمة ووزراء فسقة كذبة خونة أدرك منكم ذلك الزمن فلا يكونن لهم جابيا ولا عريفا ولا شرطيا
“Ali bin Muhammad al-Thaqafi al-Baghdadi telah menceritakan kepada kami. Beliau berkata: Mu’awiyah bin al-Haitham bin al-Rayyan al-Khurasani telah menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Daud bin Sulaiman al-Khurasani telah menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Abdullah bin al-Mubarak telah menceritakan kepada kami. Beliau meriwayatkan daripada Sa’id Bin Abu ‘Arubah daripada Qatadah daripada Sa’id Bin al-Musayyib daripada Abu Hurairah RA. Beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : Akan datang pada akhir zaman para pemimpin yang zalim, menteri-menteri yang fasik, para hakim yang melakukan pengkhianatan dan para fuqaha yang berbohong. Sesiapa yang pernah berada di zaman tersebut, jangan kalian memberikan pengutip cukai, penyelia dan penguasa bagi pihak mereka.”
al-Tabarani juga meriwayatkan hadis ini dalam kitab al-Mu’jam Al-Awsat[3] dengan sanad yang sama. Hadis ini turut diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi dalam kitabnya Tarikh Baghdad[4]. Beliau menukilkan hadis tersebut dengan sanad berikut :
أخبرني أبو القاسم الأزهري قال: حدثنا علي بن محمد بن لؤلؤ الوراق قال: حدثنا عبد الرحمن بن محمد بن المغيرة جار ابن الأكفاني قال: حدثنا عبد الله بن أحمد بن شبويه المروزي قال: أخبرنا داود بن سليمان المروزي, قال: حدثنا عبد الله بن المبارك , عن سعيد بن أبي عروبة عن قتادة عن سعيد بن المسيب عن أبي هريرة قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: يكون في آخر الزمان أمراء ظلمة ووزراء فسقة وقضاة خونة وفقهاء كذبة فمن أدركهم فلا يكونن لهم عريفا ولا جابيا ولا خازنا ولا شرطيا
“Abu Al-Qasim al-Azhari telah memberitahu kepada saya. Beliau berkata : Ali bin Muhammad bin Lu’lu al-Warraq telah menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Abdurrahman bin Muhammad bin Al-Mughirah, jiran kepada Ibn al-Akfani telah menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Abdullah bin Ahmad bin Syabbawaih al-Marwazi telah menceritakan kepada kami. Beliau berkata : Daud bin Sulaiman al-Marwazi telah memberitahu kami. Beliau berkata : Abdullah bin al-Mubarak telah menceritakan kepada kami. Beliau meriwayatkan daripada Sa’id Bin Abu ‘Arubah daripada Qatadah daripada Sa’id bin al-Musayyib daripada Abu Hurairah. Beliau berkata : Rasulullah SAW bersabda : Akan datang pada akhir zaman para pemimpin yang zalim, menteri-menteri yang fasik, para hakim yang melakukan pengkhianatan dan para fuqaha yang berbohong. Sesiapa yang pernah hidup di zaman mereka, jangan dia menjadi wakil, pengutip cukai, orang yang menjaga perbendaharaan dan penguasa bagi pihak mereka.”
Jika diteliti, matan hadis ini berakhir pada lafaz ‘sesiapa yang sempat hidup di zaman mereka, jangan dia menjadi wakil, pengutip cukai, orang yang menjaga perbendaharaan dan juga penguasa bagi pihak mereka’. Tiada tambahan selepas itu dalam mana-mana riwayat. Dalam riwayat Al-Tabarani pula, matan hadis terhenti pada ‘sesiapa yang sempat berada di zaman tersebut, jangan kalian memberikan pengutip cukai penyelia dan penguasa bagi pihak mereka’. Justeru, lafaz ‘kerana segala perbuatan mereka akan membawa mereka ke jalan neraka’ yang dinukilkan itu adalah lafaz tambahan yang tiada asal dalam mana-mana riwayat.
Dari sudut sanad, berlaku tafarrud (bersendirian dalam periwatan) dalam sanad hadis ini. Ini kerana kesemua sanad hadis ini terbukti[5] pada seorang perawi yang bernama Daud bin Sulaiman. Perkara ini dijelaskan sendiri oleh al-Tabarani ketika beliau menukilkan hadis ini. Beliau berkata:
لَمْ يَرْوِهِ عَنْ قَتَادَةَ إِلَّا ابْنُ أَبِي عَرُوبَةَ وَلَا عَنْهُ إِلَّا ابْنُ الْمُبَارِكِ الْمُبَارَكِ
“Tiada yang meriwayatkan hadis ini daripada Qatadah melainkan Ibn Abu ‘Arubah. Dan tiada yang meriwayatkan daripada beliau melainkan Ibn Al-Mubarak. Daud Bin Sulaiman telah bersendirian meriwayatkan hadis ini.”[6]
Daud bin Sulaiman adalah seorang perawi yang lemah namun para ulama hadith membenarkan untuk meriwayatkan hadis daripada beliau[7]. Al-Haithami (m.973 H) menukilkan bahawa Al-Azdi mengatakan Daud Bin Sulaiman adalah seorang perawi yang terlalu lemah[8].
Dalam sanad hadis ini juga terdapat seorang perawi yang bernama Mu’awiyah bin al-Haitham. Beliau adalah seorang perawi yang majhul (tidak diketahui statusnya dan peribadinya)[9].
Sebahagian para ulama hadis kotemporari seperti Sheikh Syuaib al-Arnaut menilai hadis tersebut sebagai hadis munkar. Ini kerana perawi-perawi seperti adanya yang dinyatakan[10].
Kesimpulannya, hadis tersebut diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir dan al-Mu’jam al-Awsat. Ia juga turut diriwayatkan oleh al-Khatib al-Baghdadi (m.463 H) dalam Tarikh Baghdad. Jika Matan hadis ini berakhir pada lafaz ‘sesiapa yang sempat hidup di zaman mereka, jangan dia menjadi wakil, pengutip cukai, orang yang menjaga perbendaharaan dan juga penguasa bagi pihak mereka’. Tiada tambahan selepas itu dalam mana-mana riwayat. Dalam riwayat Al-Tabarani pula, matan hadis terhenti pada ‘sesiapa yang sempat berada di zaman tersebut, jangan kalian memberikan pengutip cukai, penyelia dan penguasa bagi pihak mereka’. Justeru, lafaz ‘kerana segala perbuatan mereka akan membawa mereka ke jalan neraka’ yang dinukilkan itu adalah lafaz tambahan yang tiada asal dalam mana-mana riwayat.
Dari sudut sanad, berlaku tafarrud pada sanad. Ianya disebabkan sanad hadis ini tertumpu pada seorang perawi yang bernama Daud bin Sulaiman al-Khurasani. Beliau adalah seorang perawi yang lemah. Begitu juga terdapat perawi yang bernama Mu’awiyah bin al-Haitham. Beliau adalah seorang perawi yang majhul (tidak dikenali status dan peribadinya). Ringkasnya, hadis tersebut adalah hadis yang lemah.
Sumber: muftiwp.gov.my
- Resepi Viral5 years ago
10 Resepi Ayam Berkuah Hidangan Menarik Ditengah hari
- Keluarga5 years ago
Sering kali Anak Sulung Selalu Kena Marah Tapi Sebenarnya Paling Istimewa Di Hati Ibu Ayah
- AGAMA5 years ago
Cara Senang Hafal Surah Al- Khafi Ayat 1 Hingga 10.
- AGAMA5 years ago
Satu-satunya manusia yang bukan nabi, bukan pula Rasul, tapi kisah hidupnya diabadikan dalam Qur’an
- AGAMA5 years ago
Satu kuku panjang ibarat bela sekandang b4bi? Inilah dosa bela kuku panjang
- AGAMA5 years ago
Cara Meruqyah Anak Yang Malas Untuk Belajar
- AGAMA5 years ago
Nafkah untuk isteri tak termasuk keperluan barang dapur, Para suami kena ingat dan Wajib tahu.
- AGAMA5 years ago
5 doa yang buat rezeki anda datang dari arah tak disangka, lancar dan berkah